Darjah Kebesaran Pembakar Semangat Nur Dhabitah

KUALA LUMPUR – Penerjun wanita negara, Nur Dhabitah Sabri yang dikurniakan Bintang Ahli Mahkota Wilayah (AMW) oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah hari ini mahu menjadikan anugerah diterimanya sebagai pembakar semangat untuk melakar lebih pencapaian dalam arena sukan yang diceburi.

“Saya menghargai anugerah ini dan saya bertekad memberi lebih banyak sumbangan kepada negara. Harapan saya ialah nak beraksi dengan cemerlang di masa hadapan dan mempamerkan prestasi yang baik dalam kerjaya saya,” katanya kepada Bernama selepas Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan (DKBPWP) sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2019 di Istana Negara di sini.

Antara pencapaian yang pernah diraih Nur Dhabitah, 20, ialah mendapat tempat kelima pada Sukan Olimpik 2016, satu pingat perak dan dua gangsa pada Sukan Asia 2018, selain pernah dinobatkan sebagai Olahragawati Wilayah Persekutuan 2017.

Beliau yang merupakan anak jati Kuala Lumpur kini sedang giat berlatih untuk bertanding dalam Kejohanan Terjun Siri Dunia 2019 yang akan bermula Mac ini. – BERNAMA

Loading...