Darell Puji Kecanggihan Proton X70 SUV

KUALA LUMPUR – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darell Leiking, hari ini melawat ibu pejabat Proton dan diberikan pratonton eksklusif Proton X70 kenderaan utiliti sukan (SUV) di litar ujiannya di Shah Alam, Selangor.

Pada lawatan itu, Darell juga diberikan taklimat berhubung SUV Proton itu sebelum memandu uji kenderaan berkenaan.

Darell adalah menteri kabinet pertama mendapat peluang memandu uji edisi terbaru inventori Proton itu.

Turut hadir pada lawatan itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd, Dr Li Chunrong danTimbalan CEO, Datuk Radzaif Mohamed, selain beberapa pengurus kanan syarikat berkenaan.

Dalam kenyataannya hari ini, beliau memuji kecanggihan SUV itu yang memaparkan ciri interaktif moden termasuk pemantapan aspek keselamatan seperti radar hadapan dan sisi, serta kawalan suara yang membantu kenderaan untuk bertindak melalui arahan suara pemandu.

Proton X70 membuat penampilan pertamanya pada pratonton eksklusif untuk media.

Ini diikuti dengan beberapa siri acara tontonan untuk pelanggan yang dianjurkan untuk menguar-uarkan SUV berkenaan yang dijalankan di tujuh bandar dari 19 September hingga 4 Nov.

Pelancaran rasmi X70 akan diadakan sebaik selesai sesi pratonton itu.

Maklum balas daripada orang awam sangat meyakinkan dan menerima kira-kira 5,000 tempahan dalam masa seminggu ia diperkenalkan kepada orang awam. – BERNAMA

Loading...