DAP Sokong Anwar Jadi Perdana Menteri Baru?

PETALING JAYA – Ahli Parlimen DAP akan mengundi Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri baru, susulan peletakan jawatan Dr. Mahathir Mohamad kelmarin, lapor Sin Chew Daily.

Seorang ahli Parlimen DAP dilaporkan berkata, parti itu memberi taklimat mengenai perkembangan politik terkini kepada semua ahli Parlimennya di ibu pejabat parti pada tengah hari tadi.

Akhbar itu melaporkan mesyuarat berkenaan berakhir 1.10 tengah hari tadi dan semua ahli Parlimennya menaiki bas ke Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu, Ahli Parlimen Wangsa Maju, Tan Yee Kew dilaporkan berkata, PKR menandatangani pengisytiharan untuk menyokong Anwar sebagai perdana menteri baru.

Semalam, Barisan Nasional bersama PAS dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) mahu Parlimen dibubarkan dan pilihan raya umum diadakan untuk membentuk kerajaan baru.

Setiausaha Agung UMNO, Annuar Musa dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat selepas BN dan PAS menolak kerajaan perpaduan yang dicadangkan Mahathir. – FMT

Loading...