DAP Dakwa Izin PKR Jadi MB Negeri Sembilan

DAP mendakwa sedia membenarkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR dilantik sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan, kata Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Loke Siew Fook.

Beliau berkata, ia boleh dilakukan walaupun DAP sebenarnya yang menang lebih banyak kerusi daripada PKR di negeri berkenaan sekali gus mengulangi situasi seperti PRU ke-12 pada 2008 di Dewan Undangan Negeri Perak.

Bagaimanapun kerajaan pakatan pembangkang tersebut tumbang selepas 11 bulan sahaja memerintah apabila tiga wakil mereka mengisytiharkan menjadi ADUN Bebas yang menyokong Barisan Nasional (BN).

Siew Fook dalam pada itu mendakwa bahawa pihaknya setakat ini menghormati Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan yang mengkehendaki Menteri Besar mesti dilantik dalam kalangan lelaki Melayu Islam.

“DAP tidak mempunyai calon Melayu Islam justeru kita menyokong penuh calon PKR untuk memimpin,” katanya pada sidang media, malam tadi.

Sementara itu, Pengerusi PKR negeri, Aminuddin Harun, berkata mereka menunggu keputusan pucuk pimpinan mengenai calon Menteri Besar dalam masa terdekat.

“Pucuk pimpinan akan tentukan siapa yang akan menjadi Menteri Besar. Apa pun, kita akan menguruskan perkara berkaitan membentuk kerajaan negeri.

“Ini termasuk menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, dalam masa terdekat,” kata Siew Fook lagi. – myMetro Online

Loading...