DAP Ada Agenda Halus Pelaksanaan Dasar Nasional – UMNO

KUALA LUMPUR – UMNO mendakwa DAP mempunyai agenda tersembunyi yang dibuat secara halus melalui pelaksanaan dasar nasional.

Berikutan itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO menolak untuk bekerjasama dengan mana-mana parti yang berkongsi kuasa politik dengan DAP.

“Ia dilakukan melalui pelaksanaan kepada dasar-dasar di mana kementerian-kementerian yang diketuai menteri-menteri yang mewakili parti berkenaan telah menggunakan kedudukan mereka untuk melaksanakan agenda DAP.

“Seharusnya mereka memberikan keutamaan kepada agenda nasional. Tentunya UMNO tidak boleh menerima agenda halus yang tersembunyi ini yang dilaksanakan oleh DAP,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Beliau berkata, hanya Presiden UMNO yang diberi mandat sekiranya perlu mempertimbangkan sebarang bentuk rundingan dengan parti-parti berkenaan.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, Majlis Tertinggi UMNO sebulat suara menerima kerjasama dengan Pas yang berlandaskan taawun siyasi dan majlis tandatangani piagam kerjasama berkenaan akan dimaklumkan hari ini. – Sinar Harian

Loading...