Damien Chazelle Pengarah Termuda Menang Oscar

LOS ANGELES: Damien Chazelle, 32, melakar sejarah menjadi penerima Oscar paling muda bagi kategori Pengarah Terbaik pada Anugerah Akademi Ke-89.

Chazelle yang mengarahkan filem La La Land, turut menjadi penulis lakon layar bagi filem genre muzikal romantik yang mengimbau sejarah kegemilangan era Hollywood.

Filem gandingan Emma Stone dan Ryan Gosling itu menerima 14 pencalonan termasuk Filem Terbaik.

Sementara itu, lakonan mantap Casey Affleck dalam filem Manchester by the Sea membolehkan aktor itu merangkul trofi Aktor Terbaik. Ketika berucap, Affleck mengucapkan terima kasih kepada Denzel Washington yang mengajarnya berlakon biarpun tidak pernah bertemu idolanya itu.

Sementara itu, bagi kategori Aktres Terbaik, Stone membawa pulang trofi Oscar pertamanya hasil lakonan mantap sebagai bakat baharu yang jatuh cinta dengan pemuzik jazz dalam filem La La Land. Stone, 28, yang membawakan watak Mia, menonjolkan kesungguhan bakat muda menempuhi suka duka mencapai impian di Hollywood.

Kemenangan Stone memadamkan harapan pesaing terdekat seperti Natalie Portman, Meryl Streep, Isabelle Huppert dan Ruth Negga. -BH Online

Loading...