Dakwaan Kru Kapal Wuhan Masuki Melaka Tak Benar

KUALA LUMPUR – Jabatan Kesihatan Melaka menafikan dakwaan kononnya kru kapal dari Wuhan memasuki Melaka melalui Pelabuhan Kuala Linggi di Alor Gajah, Melaka.

Pengarahnya, Dr. Ismail Ali, berkata kenyataan dimuat naik di Facebook Geng ViRaL MeLaKa oleh individu bernama Shahnol Sundara adalah tidak tepat.

Ini kerana, katanya kapal yang berlabuh bersama anak kapal pada 3 Februari lalu dan ditularkan bukan dari Wuhan.

“Jabatan Kesihatan Melaka ingin memaklumkan bahawa saringan kesihatan kepada anak kapal dari negara berisiko terutama China adalah aktiviti tetap bagi pencegahan dan kawalan kemasukan virus 2019-nCoV yang dilakukan di semua Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) seluruh negara.

“Penggunaan alat perlindungan diri oleh anggota kesihatan yang bertugas adalah juga bertujuan melindungi kesihatan anggota yang bertugas di PMA,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Sehubungan itu, beliau meminta masyarakat supaya sentiasa berhati-hati dan tidak menularkan sebarang berita tidak benar yang boleh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

“Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa mengamalkan penjagaan kesihatan diri yang baik seperti kerap mencuci tangan dengan sabun atau menggunakan ‘hand sanitizer’, mengamalkan etika batuk yang betul dan mengelakkan dari mengunjungi tempat tumpuan ramai,” katanya. – BH Online