Dakwaan Berkaitan Komunis Taktik Cemar Proses Demokrasi

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy menyuarakan kekecewaan berhubung dakwaan oleh seorang ahli UMNO Terengganu bahawa elemen komunis telah menyusup masuk ke dalam kerajaan.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata, dakwaan seperti itu adalah usaha jelas untuk menghasut kebencian dan ketakutan dalam kalangan masyarakat khususnya terhadap kerajaan memerintah yang telah diberi mandat untuk menerajui negara dalam pilihan raya umum lepas.

“Dakwaan tidak berasas ini bahawa ideologi komunis telah meresap masuk ke dalam kerajaan mesti ditangani dengan serius,” kata menteri itu yang bertanggungjawab terhadap perpaduan nasional dan kesejahteraan sosial.

Sehubungan itu beliau menggesa polis supaya mengambil tindakan segera ke atas Wan Hisham Wan Salleh yang dilaporkan membuat dakwaan itu semasa sesi perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.

Waytha Moorthy berkata: “Dalam era Malaysia Baharu, ia membingungkan saya bagaimana sesetengah pihak masih menggunakan taktik menakut-nakutkan, yang termasuk membangkitkan kebencian terhadap pemimpin dan kerajaan yang dipilih secara demokrasi.”

Beliau menegaskan tindakan sengaja membangkitkan kebimbangan itu adalah tidak wajar.

“Rakyat Malaysia, terutamanya pemimpin politik, mesti dipertanggungjawabkan atas tindakan mereka yang menggugat keharmonian di dalam negara ini,” katanya.

Loading...