Dah Dapat 17 Anugerah, Bukan Semua Kenal Khai Bahar

MEMENANGI 17 trofi sepanjang dua tahun berada dalam industri seni bukanlah alasan untuk penyanyi Khai Bahar mendabik dada dan berbangga dengan pencapaiannya.

Menurut Khai, 24, dia masih belum merasakan dirinya seorang selebriti popular, malah mengakui dirinya seperti penyanyi baharu yang sedang membina nama.

“17 trofi kemenangan bukan bererti saya dah cukup popular, apa yang saya dapat ini adalah hasil usaha para peminat yang tak henti menyokong.

“Saya tak pernah mengimpikan pun untuk mendapat penghargaan tersebut kerana kehidupan sebagai anak seni ini ada turun dan naik, jadi saya anggap itu semua rezeki atas usaha peminat,” katanya kepada mStar Online.

Penyanyi lagu Bayang ini memenangi dua trofi dalam Anugerah Planet Muzik yang berlangsung di Singapura pada Sabtu lalu.

Khai membawa pulang dua trofi iaitu anugerah Artis Paling Popular APM dan Ikon Media Sosial.

Dalam pada itu, Khai berkata dia turut menerima kritikan netizen yang mempertikaikan kemenangannya itu.

Bagaimanapun, dia lebih selesa mengabaikan komen negatif tersebut dan menganggap ia sebagai lumrah kehidupan anak seni.

Khai bersama trofi dimenangi di Amugerah Planet Muzik 2018.

“Ada yang rasa saya tak layak menang, tapi tak apalah, itu pandangan mereka dan saya pun akui bukan semua orang kenal saya.

“Biarlah mereka terus mengkritik, saya terima sahaja, masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Yang penting peminat seronok,” ujarnya.

Bercakap mengenai perkembangan terkini, Khai baru sahaja melancarkan video muzik lagu terbaharu berjudul #123.

Lagu serta lirik ciptaan Khai dan Patrick Anohada itu sudah trending di laman Youtube dan menerima hampir 200,000 tontonan sejak ia di muat naik pada Ahad. – mStar Online

Loading...