Cukup-Cukuplah Bergaduh, Pesan Najib

KUALA LUMPUR – Bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa anggota parti itu supaya tidak mencetuskan ‘huru-hara’ sebaliknya menerima kepulangan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang kembali menerajui UMNO.

Najib berkata, jika ada ahli UMNO yang tidak gembira dengan kehadiran semula Ahmad Zahid, mereka perlu menunggu sehingga bekas Timbalan Perdana Menteri itu menghabiskan mandatnya selama tiga tahun.

“Beliau balik sebagai presiden sebab dia ada mandat sampai tiga tahun. Kita terima dan kalau kita tidak suka, kita tunggu tiga tahun.

“Tetapi jangan buat huru-hara dalam parti. Jangan ada kem dalam parti,” katanya ketika berucap semasa melancarkan Mesyuarat UMNO Setiawangsa hari ini.

Beliau turut menggesa ahli UMNO agar bersatu demi rakyat Malaysia dan memberi perhatian kepada isu rakyat, bukannya soal dalaman parti.

“Kita nak berkuasa balik kan? Buatlah cara nak berkuasa balik, jangan bergaduh saja,” katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata, kerjasama UMNO dengan PAS disifatkan sebagai senjata ampuh untuk menewaskan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Kalau esok parlimen dibubarkan, Barisan Nasional dengan kerjasama PAS boleh tubuh kerajaan baharu. Inilah antara senjata yang ampuh.

“Inilah perpaduan Melayu-Islam sejati yang akan menentukan masa depan kita,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya saranan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengajak semua parti politik Melayu bergabung bersama BERSATU, Najib berkata, parti komponen PH perlu menjawab isu itu terlebih dahulu.

“Elok kita tunggu dulu rakan-rakan dia dalam PH iaitu PKR, Amanah dan DAP komen dahulu. Lepas itu UMNO akan komen,” katanya. – Sinar Harian

Loading...