Cuaca Panas Di Indonesia Hingga Boleh Goreng Telur

JAKARTA – Minggu ini, beberapa kawasan di Indonesia dilanda cuaca panas terik pada siang hari.

Menurut Agensi Meteorologi, Kaji Cuaca dan Geofizik (BMKG), suhu maksimum dijangka mencapai lebih daripada 39 darjah celsius dan akan berterusan hingga akhir Oktober.

Ekoran cuaca panas luar biasa itu, tular video dalam kalangan warganet melakukan aktiviti menggoreng telur di bawah sinar matahari tanpa menggunakan dapur.

Menerusi akaun Instagram (IG), Info Makassar telah berkongsi video seorang wanita meletakkan kuali di tepi jalan raya dan sedikit minyak lalu memecahkan sebiji telur yang kemudian ditambah beberapa perasa.

Kejadian tersebut tidak dapat dipastikan lokasinya, namun dalam masa singkat telur tersebut masak.

Perkongsian dimuat naik itu mendapat hampir 50,000 tanda suka.

Mengulas lanjut, Timbalan Pengarah Institusi Sains Kejuruteraan Indonesia (LIPI) Agus Haryono mengatakan bahawa telur boleh digoreng di bawah cahaya matahari.

Bagaimanapun katanya, kepanasan itu bukan di tahap mendidih kerana takat didih air adalah 100 darjah celsius, manakala takat didih minyak pula 170 hingga 180 darjah celsius.

Sehubungan itu katanya, telur berkenaan mungkin mengambil masa untuk ‘garing’ sepenuhnya. – Agensi

Loading...