Cristiano Ronaldo Mahu Menjadi Nelayan Rupanya…

CRISTIANO Ronaldo mendedahkan ketika zaman kanak-kanak dia membayangkan dirinya sebagai nelayan di pantai Madeira suatu hari nanti dan bukannya salah seorang pemain bola sepak terkenal dunia.

Superstar Portugal yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-35 kelmarin sempat mengimbau memori silam ketika memperkatakan mengenai karier gemilangnya yang menyaksikan dia memenangi hampir kesemua trofi kejohanan.

Ronaldo mengakui realiti hari ini tidak seperti digambarkan ketika kecil yang sepatutnya kehidupan seharian dihabiskan dengan menangkap ikan di pulau kecil tempat dia membesar.

Ketika ditanya apa yang terlintas di fikirannya pada usia 35 tahun ketika zaman kanak-kanak, Ronaldo memberitahu Canal 11: “Saya fikir saya menjadi nelayan di Madeira.

“Ini tidak pernah terlintas di fikiran saya. Saya mahu menjadi pemain bola sepak profesional tetapi tidak sangka saya dapat memenangi semua piala saya mahu.”

CRISTIANO Ronaldo menyambut hari jadi ke-35 bersama anak (kiri) dan teman wanita, Georgina Rodríguez pada Rabu lalu.

Kini di penghujung kariernya, Ronaldo masih dahagakan kejayaan dan memburu trofi keenam Liga Juara-Juara.

“Beraksi di Juventus memberi saya peluang merealisasikan impian,” katanya.

“Saya tahu ia sukar, bergantung kepada banyak faktor tetapi ia boleh dicapai kerana kami mempunyai pasukan yang bagus. Kami mesti mengambil satu langkah sebelum menuju ke hadapan.”

Ronaldo pemenang lima Ballon d’Or dan menjuarai liga dan kejohanan domestik di mana sahaja dia bermain.

Penyerang prolifik itu membawa Portugal muncul juara Euro 2016 sebelum menjuarai Liga Negara-Negara UEFA pada musim panas lalu.

Ronaldo kini menjadi ikon global dan muncul manusia pertama memiliki 200 juta pengikut di Instagram minggu lalu. – Agensi

Loading...