COVID-19: Syarikat Penerbangan Dijangka Hilang RM1.36 Trilion

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menjangkakan krisis COVID-19 akan menyebabkan pendapatan syarikat penerbangan susut AS$314 bilion (RM1.36 trilion) atau 55 peratus pada tahun ini berbanding tahun lalu.

Pada 24 Mac lalu, IATA menganggarkan sektor berkenaan akan kehilangan pendapatan AS$252 bilion (RM1.09 trilion), atau susut 44 peratus berbanding 2019 jika sekatan perjalanan yang semakin memburuk berterusan selama tiga bulan.

Dalam analisis terbaharunya terhadap sektor itu, ia telah memperbaharui angka kerugian, sekali gus mencerminkan tahap krisis itu yang semakin mendalam dan juga sekatan perjalanan selama tiga bulan yang semakin memburuk.

“Data juga menunjukkan beberapa larangan perjalanan antarabangsa yang melebihi tiga bulan serta kesan buruk di seluruh dunia, termasuk Afrika dan Amerika Latin,” katanya.

Mengenai permintaan penumpang sepanjang tahun untuk peringkat domestik dan antarabangsa, badan global itu menjangkakan ia akan merosot sebanyak 48 peratus tahun ini berbanding tahun lalu disebabkan oleh perkembangan ekonomi secara keseluruhan dan sekatan perjalanan.

Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif IATA, Alexandre de Juniac, berkata lebih separuh daripada pendapatan penumpang akan hilang yang akan menyebabkan kerugian sebesar itu.

Katanya, beberapa kerajaan telah meningkatkan penyediaan langkah bantuan kewangan yang baharu atau yang diperluas, tetapi situasi di dalam industri penerbangan masih kritikal.

MATI PUCUK? DAPAT RAWATAN SEGERA… KLIK

“Syarikat penerbangan berkemungkinan menggunakan simpanan tunai mereka sebanyak AS$61 bilion (RM264 bilion) pada suku kedua ini sahaja. Ia merisikokan 25 juta pekerjaan yang bergantung pada industri penerbangan.

“Tanpa bantuan segera, banyak syarikat penerbangan tidak akan bertahan untuk kembali memulihkan ekonomi,” katanya.

Kerajaan, katanya, perlu memasukkan industri penerbangan ke dalam pakej rangsangan kerana syarikat penerbangan berada pada teras rantaian nilai yang menyokong sekitar 65.5 juta pekerjaan di seluruh dunia.

“Bantuan kewangan bagi syarikat penerbangan harus menjadi langkah dasar yang penting bagi kerajaan dalam menyokong syarikat penerbangan supaya rantaian bekalan penting dapat berfungsi sepanjang krisis.

“Sekiranya syarikat penerbangan tidak bersedia, masalah ekonomi COVID-19 akan berpanjangan,” katanya.

IATA turut mencadangkan beberapa langkah bantuan untuk pertimbangan kerajaan, antaranya sokongan kewangan langsung kepada penerbangan penumpang dan kargo bagi mengimbangi pengurangan pendapatan dan kecairan yang disebabkan oleh sekatan perjalanan yang dikenakan akibat COVID-19.

Selain itu, pemberian pinjaman, jaminan pinjaman dan sokongan untuk pasaran bon korporat oleh kerajaan atau bank pusat. – BH Online

Loading...