COVID-19: Pharmaniaga Jamin Bekalan Ubat Tak Terganggu

SHAH ALAM – Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) memberi jaminan bekalan ubat-ubat ke semua hospital dan klinik kerajaan tidak terganggu berikutan perniagaan syarikat itu beroperasi seperti biasa.

Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga, Datuk Farshila Emran, dalam kenyataan berkata anak syarikat milik penuhnya, Pharmaniaga Logistics Sdn. Bhd. (PLSB), akan terus menyediakan penghantaran ubat-ubatan dari pintu ke pintu tepat pada masanya, malah di kawasan pedalaman di negara ini sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan di seluruh negara.

“Ini merupakan keadaan yang belum pernah terjadi sebelumnya dan kami telah membuat persiapan dengan melakukan simulasi pelbagai senario untuk PLSB terus beroperasi dalam memastikan bekalan farmaseutikal akan sampai ke semua hospital kerajaan dan klinik dalam tempoh penghantaran yang ditetapkan.

“Kami bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan dalam memantau keadaan dan kami memberi jaminan bahawa kami akan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada orang ramai, selaras dengan slogan kami “Passion for Patients”,” katanya.

Farshila berkata Pharmaniaga juga meningkatkan usaha untuk melindungi pekerjanya daripada jangkitan COVID-19, termasuk melakukan pemeriksaan suhu badan setiap hari, mengehadkan lawatan dan melakukan sanitasi berjadual di semua pejabat dan kilangnya.

Beliau menggesa orang ramai kekal komited dalam mematuhi perintah kawalan pergerakan untuk membendung penularan COVID-19 di negara ini.

“Kami ingin menasihatkan orang ramai untuk mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengamalkan kebersihan diri yang baik.

“Marilah kita bersatu untuk memberi sokongan penuh kepada usaha kerajaan, serta menghargai wira yang tidak didendang, pengamal perubatan yang mendedikasikan hidup mereka untuk memerangi pandemik ini,” katanya.

Pada 16 Mac, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan Malaysia akan melaksanakan perintah kawalan pergerakan di seluruh negara mulai hari ini sehingga 31 Mac, 2020, dalam usaha menangani penularan COVID-19.

Perintah itu antara lain menetapkan larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan kebudayaan.

Loading...