Covid-19, Perubahan Iklim Ubah Agenda Pembangunan

PUTRAJAYA – Pembangunan mampan dan teknologi hijau berperanan penting dalam menerajui ekonomi negara termasuk Malaysia, tatkala seluruh dunia kini berdepan cabaran pandemik COVID-19 dan perubahan iklim. 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata seperti negara lain, Malaysia juga perlu memikirkan semula agenda pembangunan negara.

Muhyiddin berkata, pendekatan pemulihan hijau bukan saja memacu ekonomi dan kesejahteraan sosial, malah ia juga mampu menggerakkan hala tuju pembangunan negara membabitkan rancangan ketahanan iklim dan rendah karbon.

Beliau berkata, dalam konteks itu, kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengambil tindakan pantas dan responsif dalam menangani pandemik serta implikasi sosioekonomi melalui pelbagai pelan rancangan ekonomi termasuk Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) berjumlah RM260 bilion dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) berjumlah RM35 bilion.

Katanya, ia bagi membantu rakyat dan industri terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berdepan dengan cabaran pandemik yang melanda negara ini.

“Malaysia, sebagai negara dirahmati dengan kekayaan sumber alam dan antara 12 negara di dunia yang mempunyai kepelbagaian bio bersifat mega dan terlebih awal dalam teknologi hijau mampu memanfaatkan kelebihan itu bagi agenda pemulihan hijau kukuh.

“Dalam Belanjawan 2022 negara ini, ada tumpuan khas terhadap agenda mampan dan pengumuman penting mengenainya akan dibuat nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan dan Pameran Teknologi Hijau dan Produk Eko Antarabangsa (IGEM) 2020 anjuran bersama Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dan Malaysian Green Technology and Climate Change Centre (MGTC), hari ini.

Rakaman ucapan berkenaan dipertontonkan pada perasmian pagi tadi.

Muhyiddin berkata, KASA ketika ini sedang menerajui Pelan Persekitaran Mampan di Malaysia ke arah pembangunan mampan.

Katanya, pelan itu mempunyai sasaran dan petunjuk ke arah hala tuju hijau dan mampan bermula 2020 hingga 2030.

Selain itu, beliau berkata, Pelan Induk Teknologi Hijau (GTMP), yang dilancarkan pada 2017, menyediakan garis panduan pendekatan pembangunan teknologi hijau hingga 2030 dalam mewujudkan ekonomi rendah karbon serta menggunakan sumber dengan efisien.

Katanya, kejayaan pelan induk itu disumbangkan melalui kerjasama berkesan dengan pelbagai sektor bagi memaksimumkan manfaat bersama.

“Malaysia juga mengambil langkah ke arah Ekonomi Kitaran yang merangkumi pelbagai elemen dalam menguruskan kesan pengakhiran produk.

“Bagi memastikan Ekonomi Kitaran lebih berkesan, kita perlu memastikan industri mengamalkan tanggungjawab berterusan pengeluar (EPR) yang akan menyumbang ke arah strategi perniagaan mampan persekitaran.

“Kami juga sudah memacu beberapa bandar raya di Malaysia untuk meletakkan wawasan rendah karbon dan membangunkan pelan tindakan rendah karbon.

“Sejumlah 52 pihak berkuasa tempatan kini terbabit dalam Program Kerangka Bandar raya Rendah Karbon, yang menggalakkan strategi dan tindakan untuk mengurangkan pelepasan karbon,” katanya.

Perdana Menteri berkata, penularan pandemik COVID-19 dan perubahan iklim amat dibimbangi serta menjadi ancaman global yang memerlukan penyelesaian global.

Beliau berkata, seperti mana penduduk dunia memerlukan vaksin untuk menangani COVID-19, perubahan iklim juga memerlukan penyelesaian segera kerana kesannya yang menyeluruh terhadap pelbagai ekonomi termasuk corak cuaca berubah-ubah sehingga memberi kesan kepada pengeluaran bahan makanan serta peningkatan paras laut yang membawa risiko banjir besar.

“Tanpa tindakan drastik yang diambil sekarang, kesannya pada masa depan akan lebih sukar dan mahal,” katanya. – BH Online

Loading...