Covid-19: Lelaki Ditahan Kerana Ludah Butang Lif

PENJAGA pusat snuker berusia 63 tahun di Sungai Ara, Bayan Lepas ditahan polis kerana disyaki meludah di butang lif sebuah perumahan di Balik Pulau, hari ini.

Video perbuatan lelaki itu juga tular di media sosial dan mendapat kecaman warganet.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki itu pada 12.50 tengah hari tadi.

Terdahulu pihaknya sudah menerima aduan daripada guru lelaki dari perumahan berkenaan pada 7.25 malam mendakwa menerima kiriman video menerusi aplikasi WhatsApp yang dihantar kenalan dan turut memaparkan alamat lokasi terbabit.

“Kerana bimbang dengan kesihatan dan keselamatan penduduk di situ berkenaan isu wabak Covid-19, guru terbabit membuat laporan polis dan meminta perhatian daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Kementerian kesihatan Malaysia (KKM),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, Anbalagan berkata, suspek kemudian menyerah diri di Balai Polis Bayan Lepas, sebelum ditahan.

Selepas menjalani ujian kesihatan, suspek didapati tidak menunjukkan tanda-tanda dijangkiti Covid-19 dan ujian air kencing didapati negatif daripada pengambilan dadah.

“Suspek sudah ditahan serta mengakui perbuatannya dan siasatan masih dilakukan.

“Kemungkinan suspek akan didakwa di Mahkamah Balik Pulau pada esok pagi,” katanya.

Kes akan disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Anbalagan turut meminta masyarakat supaya tidak melakukan sesuatu yang boleh mengeruhkan keadaan terutamanya ketika penularan wabak Covid-19 ini.

“Masyarakat perlu bersikap prihatin dan jangan membuat sesuatu yang boleh mencetuskan panik termasuk menyebar berita palsu dan tidak sahih,” katanya. – myMetro Online

Loading...