COVID-19: Kluster Apas Dikesan Di Selangor

PUTRAJAYA – Satu kluster baharu dikesan di Selangor iaitu Kluster Apas yang kini sudah menjangkiti lapan inidividu. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kes indeks bagi kluster berkenaan iaitu kes ke 10,782 dan 10,783 adalah pasangan suami isteri warga tempatan yang mempunyai sejarah perjalanan ke Tawau dan Semporna, Sabah daripada 13 hingga 16 September lalu. 

“Kedua-dua kes indeks mula bergejala demam, batuk, dan selesema pada 18 September lalu sebelum mendapatkan rawatan di pusat perubatan sehari kemudian.

“Mereka kemudian dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang pada 24 September lalu dan didapati positif COVID-19 pada 26 September sebelum dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Hasil saringan kontak rapat ke atas 66 individu lain mendapati enam lagi individu positif COVID-19.

“Sehingga kini lapan kes positif, dua lagi masih menunggu keputusan manakala 56 lagi individu negatif. 

“Langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses pembersihan dan nyah kuman sudah dijalankan di lokasi-lokasi yang terbabit. Punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya. – BH Online

Loading...