COVID-19: Kes Di Masjid Seri Petaling Kluster Baharu

SUNGAI BULOH – Kes jangkitan COVID-19 yang dikaitkan dengan perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling, pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu ialah kluster baharu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba, berkata setakat ini tiga kes positif COVID-19 berkaitan dengan majlis keagamaan itu, iaitu masing-masing satu kes di Kuantan, Tawau dan Brunei.

“Serentak dengan itu masjid berkenaan akan ditutup untuk pembersihan dan disinfeksi,” katanya dalam sidang media selepas melawat Hospital Sungai Buloh, hospital khusus bagi merawat penyakit berjangkit.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah mengesahkan seorang warga emas dijangkiti coronavirus 2019 (COVID-19) selepas menghadiri perhimpunan yang diadakan di Masjid Seri Petaling itu.

Warga emas itu kes ke-131 yang dikesan Kementerian Kesihatan dan mula mempunyai gejala deman, batuk serta selesema pada 4 Mac lalu.

Dianggarkan lebih 10,000 orang terbabit dalam perhimpunan di masjid itu membabitkan jemaah dari pelbagai negara.

Daripada jumlah itu, difahamkan lebih separuh terdiri daripada jemaah Malaysia.

Dr. Adham berkata, dengan perkembangan itu, beliau merayu mereka yang menghadiri majlis berkenaan supaya tampil membuat saringan kesihatan di 57 hospital kerajaan atau mana-mana hospital swasta yang mempunyai kemudahan saringan penyakit berkenaan.

Sebelum ini, kes ke-26 dilaporkan sebagai kluster baharu membabitkan gelombang kedua jangkitan itu di negara ini. – BH Online

Loading...