COVID-19: Kematian Di Malaysia Masih Di Tahap Rendah

KUALA LUMPUR – Kadar kematian berkaitan jangkitan COVID-19 di Malaysia masih pada tahap rendah iaitu sembilan kematian bagi setiap sejuta penduduk berbanding beberapa negara lain, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr Rohaizat Yon.

Menurutnya kadar itu jelas lebih rendah berbanding Amerika Syarikat yang merekodkan 741 kematian bagi sejuta penduduk, United Kingdom (732), Indonesia (54) dan Filipina (70), berdasarkan data antarabangsa Worldometer.info yang mengukur kematian bagi setiap sejuta penduduk.

Katanya analisis menunjukkan kematian akibat jangkitan wabak COVID-19 di Malaysia kebanyakannya membabitkan pesakit berusia 50 tahun ke atas iaitu sebanyak 85.4 peratus.

“Lain-lain faktor utama yang turut menyumbang kepada kematian pesakit COVID-19 ialah bilangan komorbiditi yang dihidapi seperti penyakit darah tinggi, penyakit kencing manis dan penyakit jantung serta jangka masa pesakit mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan.

“Pelbagai strategi dirancang dan dilaksanakan oleh KKM (Kementerian Kesihatan) telah menunjukkan kesan positif, yang mana kadar kematian yang direkodkan setakat ini di Malaysia ialah 0.6 peratus masih rendah berbanding rekod kematian di negara lain,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman sosial Facebook KKM.

Dr Rohaizat bagaimanapun berkata perjuangan dalam memutuskan rantaian penularan COVID-19 masih belum selesai.

Katanya KKM masih berusaha mempertingkatkan kadar kesembuhan dan mengurangkan kadar kematian akibat COVID-19 selain terus meningkatkan tahap penyampaian kesihatan kepada semua pesakit, sama ada pesakit COVID-19 atau pesakit lain.

Jelasnya, KKM sentiasa memastikan kesiapsiagaan fasiliti hospital termasuk antara lain, kelengkapan unit rawatan rapi dan alat bantuan pernafasan, Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) serta mobilisasi anggota kesihatan berada pada tahap yang lebih optimum.

“Hingga kini, dunia masih bergelut memerangi pandemik COVID-19. Pelbagai usaha dilaksanakan di peringkat global mahupun Malaysia untuk memenangi peperangan ini.

“Kerjasama yang diberikan oleh seluruh rakyat Malaysia dalam mematuhi SOP (prosedur operasi standard) dan juga pengorbanan besar petugas barisan hadapan yang sanggup berdepan dengan kes jangkitan COVID-19 serta petugas belakang tabir adalah dihargai,” katanya. – BERNAMA