COVID-19: Kelantan Catat Rt Tertinggi 10 Hari Berturut-Turut

KUALA LUMPUR – Kelantan mencatatkan kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) COVID-19 tertinggi di negara ini selama 10 hari berturut-turut dengan merekodkan nilai Rt 1.32 setakat semalam.

Kadar Rt mengikut kes harian di negara ini berada pada tahap 1.13 semalam, dengan lima negeri mencatatkan Rt melebihi purata kebangsaan.

Data dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di Facebook, semalam itu menunjukkan Kelantan merekodkan Rt harian tertinggi bagi tempoh 10 hari berturut-turut sejak 17 April lalu.

Ia disusuli Johor dengan 1.22, Kuala Lumpur (1.20), Negeri Sembilan (1.17), Selangor (1.15) dan Melaka yang merekodkan Rt sama dengan purata kebangsaan iaitu 1.13.

Labuan pula merekodkan Rt terendah, dengan 0.88, manakala Perlis mencatatkan nilai kosong kerana tiada kes baharu.

Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan kes COVID-19, iaitu berapa ramai boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin besar nilai itu, semakin tinggi kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

Sebagai contoh, jika nilai Rt adalah 1.5, ia bererti satu kes positif boleh menyebarkannya kepada seorang atau dua orang yang lain.

Data dikongsi Dr Noor Hisham turut menunjukkan trend kes harian ketika ini kekal berada pada situasi membimbangkan dengan jumlah kes baharu terus mencatatkan angka melebihi 2,000 untuk tempoh 12 hari berturut-turut.

Data terbabit menunjukkan trend peningkatan penularan COVID-19 ketika ini berlaku lebih pantas, berbanding jangkaan Kementerian Kesihatan (KKM), yang mengunjurkan kes baharu berisiko mencecah sekitar 5,000 sehari menjelang hujung bulan depan jika Rt meningkat kepada 1.2.

Jumlah kes harian kembali melebihi 2,000 pada 15 April lalu dan melonjak menghampiri 3,000 pada Khamis lalu dengan 2,875 kes, sebelum mencatat 2,776 kes semalam. – BH Online