Covid-19: Indonesia Terhina Dengan Kajian Harvard

JAKARTA/BOGOR – Indonesia tidak pernah menyembunyikan sebarang kes jangkitan koronavirus Covid-19 di negara itu.

Malah menterinya menyifatkan kajian yang dilakukan oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Harvard, Amerika Syarikat yang mengatakan terdapat kemungkinan kes yang tidak dapat dikesan telah berlaku, adalah satu penghinaan.

Virus yang berasal dari wilayah Wuhan, China itu tersebar dengan cepat yang mana puluhan kes telah dicatatkan di negara-negara Asia Tenggara seperti Singapura, Malaysia, Thailand, Vietnam dan Filipina.

Bagaimanapun tiada satu kes pun direkodkan di Indonesia.

Ini menyebabkan ramai yang bimbang dan mula mempersoalkan kaedah yang digunakan negara itu untuk mengesan virus berkenaan.

“Kami mempunyai kit pemeriksaan koronavirus dan ianya mempunyai persijilan yang diiktiraf.

“Tiada apa yang disembunyikan,” kata Menteri Kesihatan, Terwan Agus Putranto selepas mesyuarat Kabinet di sini.

Menurut Ketua Agensi Penyelidikan dan Pembangunan Kementerian Kesihatan, Siswanto berkata, Indonesia telah menguji 64 sampel daripada pesakit yang disyaki mendapat jangkitan koronavirus bagaimanapun 62 daripadanya telah diisytiharkan negatif.

Manakala dua lagi masih diuji.

Indonesia telah mempersiapkan 100 hospital di seluruh negara tersebut termasuk tiga di Jakarta bagi menghadapi virus berkenaan.

Setakat ini, ia telah mengkuarantin lebih 240 orang rakyatnya yang dibawa keluar dari Hubei di pulau Natuna.

Penyelidik-penyelidik dari Sekolah Kesihatan Umum T.H Chan Universiti Harvard, dalam satu kajiannya minggu lalu mencadangkan Indonesia supaya mengukuhkan pemantauan dan kawalan wabak terutama apabila negara tersebut mempunyai penerbangan langsung dari Wuhan.

Pasukan universiti ternama dunia itu berkata, kekurangan kes yang disahkan di Indonesia “menunjukkan terdapat potensi berlakunya kes yang tidak dikesan” kerana perjalanan udara mungkin menyumbang kepada penularan virus berkenaan. – Agensi

Loading...