Thursday, March 28, 2024

Creating liberating content

8 Tahun Najib Razak...

AKU tak faham, Selama 8 tahun Najib Razak jadi Perdana Menteri, apa yang...

Mangsa Banjir Di Sarawak...

KUCHING: Jumlah mangsa banjir di Kuching dan Bau, Sarawak, meningkat kepada 127 orang...

Tiket Tambang Ulang Alik...

SINGAPURA - Tiket tambang perjalanan secara ulang alik dari Kuala Lumpur ke Singapura...

Fuad Yakin Pelumba Mampu...

PENGURUS pasukan Sic Junior Team AFB Tech Racing, Ahmad Fuad Baharudin percaya pasukannya...

COVID-19: Degil Arahan PKP Akan Membawa Padah

KUALA LUMPUR – Masyarakat sudah sepatutnya faham betapa pentingnya untuk memutuskan rantaian jangkitan wabak COVID-19 apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua yang berakhir 14 April, dilanjutkan dua minggu lagi sehingga 28 April.

Daripada fasa pertama PKP yang diumumkan pada 18 Mac untuk tempoh dua minggu sehingga 31 Mac dan kemudiannya disambung dua minggu lagi sehingga 14 April, kerajaan berkali-kali mengingatkan rakyat di negara ini mereka perlu mematuhi arahan PKP untuk mengekang penularan wabak yang masih belum ada vaksin ini lagi.

Namun begitu, apa yang mengecewakan serta menyedihkan, masih terdapat mereka yang masih lagi berdegil, keras kepala dan seakan tidak ambil kisah dan ambil tahu mengenai arahan PKP yang dikuatkuasakan.

Ramai yang masih keluar memandu kenderaan sehingga terdapat jalan yang sesak dan ada yang memberikan alasan yang sememangnya tidak dapat diterima untuk membolehkan pihak berkuasa tidak mengambil tindakan ke atas mereka.

Menurut perangkaan polis, seramai 14,922 individu ditahan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa satu dan dua yang berkuat kuasa mulai 18 Mac lalu hingga Selasa 14 April.

MATI PUCUK? DAPAT RAWATAN SEGERA… KLIK

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed pada sidang media di Bukit Aman Rabu 15 April berkata, daripada jumlah itu seramai 3,627 individu ditahan pada fasa pertama dan 11,295 individu pada fasa kedua.

Di samping itu, beliau berkata polis turut mengesan enam individu yang didapati melanggar arahan PKP secara berulang.

Menurut beliau, polis juga tidak lagi mengeluarkan kompaun terhadap individu yang ingkar arahan PKP fasa ketiga yang bermula Rabu 15 April.

Mulai 15 April iaitu fasa ketiga PKP yang dijadualkan berakhir 28 April depan, tiada lagi kompaun untuk sesiapa yang ditahan kerana melanggar PKP, sebaliknya mereka yang ditangkap akan terus direman dan dikenakan tindakan mahkamah.

Sebanyak 13 akademi penjara diwartakan sebagai pusat tahanan bagi menempatkan pesalah yang ingkar PKP untuk mengatasi isu kesesakan di penjara dan kesukaran melaksanakan penjarakan sosial.

Melihat pada statistik ini, membuatkan saya hairan mengapa masih ada lagi yang begitu sukar dilenturkan kedegilannya untuk mengikuti peraturan yang ditetapkan?

Malah, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador sebelum ini turut mengakui kedegilan segelintir pihak yang gagal mengikut peraturan membuatkan pasukan keselamatan negara pening kepala dengan sikap individu ini.

Selain faktor ingkar peraturan untuk duduk di rumah, ada juga yang bertindak biadap terhadap anggota keselamatan negara.

Sikap kurang ajar ini sememangnya tidak boleh diterima kerana anggota keselamatan sama ada polis atau tentera hanya menjalankan tugas mereka. Keadaan ini bagaikan peribahasa Melayu mencurah air ke daun keladi, yakni walaupun pelbagai nasihat diberi, nampaknya tidak memberi kesan dan sia-sia sahaja.

Anggota pasukan keselamatan bukanlah suka-suka menyekat pergerakan atau menyusahkan orang ramai menerusi sekatan jalan raya yang dilaksanakan. Malah mereka turut menanggung risiko dijangkiti COVID-19 selain terpaksa berjauhan daripada keluarga hanya untuk melaksanakan satu misi yang sungguh murni yakni memutuskan rantaian wabak COVID-19 demi keselamatan dan kesejahteraan orang ramai.

Bertugas dalam keadaan cuaca tidak menentu, ada ketika terpaksa berhadapan dengan cuaca panas terik juga hujan dengan angin kencang, sehingga meranapkan khemah atau payung yang menjadi tempat berteduh.

Pastinya, ia bukanlah sesuatu tugas yang mudah. Tular di media sosial sebelum ini seorang anggota polis cedera parah di bahagian kepala sehingga terpaksa menerima lima jahitan, patah bahagian atas tulang hidung selepas khemah sekatan jalan raya PKP runtuh di Jalan Besar Putra Permai, Taman Pinggiran Putra, Seri Kembangan, Selangor.

Malah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mengesahkan seramai 66 pegawai polis di seluruh negara disahkan positif COVID-19 sehingga 7 April dan menerima rawatan di hospital. Manakala seramai 1,225 warga PDRM juga kini sedang menjalani kuarantin di kediaman masing-masing.

Biarpun demikian, semua itu langsung tidak mematahkan semangat pasukan keselamatan negara sama ada anggota polis atau tentera untuk terus melaksanakan tanggungjawab mereka, bagi memastikan rakyat terus mematuhi perintah PKP.

Mengapa agaknya masih ada lagi yang hidup bagai enau dalam belukar apabila begitu sukar untuk menghormati, mengasihani mahupun menghargai pengorbanan barisan hadapan negara yang sememangnya tidak kenal erti penah lelah demi kesejahteraan rakyat.


Apakah kita tidak takut dengan apa yang berlaku di persada global akibat merebak luasnya COVID-19? Setakat ini, jumlah kes COVID-19 yang disahkan di seluruh dunia sudah mengatasi angka dua juta orang dengan angka kematian melepasi angka 100,000 orang. Di Malaysia sendiri, angka kes baharu masih tiga angka!

Mereka yang ingkar itu, adakah kerana masih lagi dalam layaran imaginasi bahawa diri akan terselamat daripada COVID-19 walhal realitinya virus itu tidak mengenal siapa yang hendak dijangkitinya termasuk yang berkedudukan atau kaya-raya.

Malah, perkara ini jugalah yang menjadi kebimbangan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. Sebagai contoh pada sidang media 8 April lepas, beliau menegur sikap sesetengah anggota masyarakat yang masih lagi melakukan aktiviti pergerakan tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKP antaranya berkunjung ke rumah saudara-mara. Jumlah kenderaan di jalan raya juga didapati semakin meningkat.

Anda masih ada hati hendak berjalan-jalan ke rumah saudara-mara dalam keadaan begini? Mengapa susah sangat hendak faham, degil dan tidak mahu ikut peraturan? Apakah kita mahu angka berlipat ganda seperti yang berlaku di luar negara?

Kedegilan sikap masyarakat untuk ikut peraturan termasuk memakai penutup mulut dan hidung turut dikongsi rakan saya, seorang peniaga ikan di Pasar Borong Selangor.

“Mereka yang masuk ke pasar ini akan diperiksa suhu badan dan diwajibkan memakai penutup mulut dan hidung. Cuma, yang saya tidak faham kebanyakannya, apabila masuk ke dalam pasar, mereka tanggalkan penutup itu.

“Pernahlah tegur mengapa buka, katanya tidak selesa. Ada juga suami isteri berpegangan tangan di pasar, tak sesuai langsung dalam keadaan begini dan ada juga yang si emak datang dengan anaknya.

“Bila ditanya, katanya seorang anak memandu, seorang lagi untuk pegang barangan dibeli. Nak suruh anak beli, mereka bukannya tahu sangat beli barang dapur, itu alasan diberikan sedangkan sudah banyak kali diingatkan hanya ketua keluarga saja boleh beli barang,” keluhnya kepada saya.

Menteri Kanan (Kluster Infrastruktur) Datuk Seri Fadillah Yusof sebelum ini dalam laporan media ada menyatakan bahawa hanya seorang sahaja iaitu ketua keluarga dibenarkan untuk membeli barangan keperluan sama ada makanan mahupun ubat-ubatan.

Dalam hal ini, Pensyarah Kanan (Bimbingan dan Kaunseling/Psikologi), Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Leftenan Komander Dr Abu Yazid Abu Bakar (B), berkata, individu yang sukar ikut peraturan tergolong dalam kecelaruan personaliti sama ada personaliti narsisistik iaitu sering berasa diri mereka sahaja betul manakala satu lagi adalah personaliti anti-sosial yang mana mereka sukar untuk akur kepada sesuatu ketetapan regulasi sosial.

“Mereka mungkin memiliki salah satu ciri personaliti itu atau gabungan kedua-duanya. Selain itu dari sudut psikologi, manusia memang sukar hendak ubah kelaziman kerana sesuatu yang sudah jadi tabiat ambil masa untuk diubah.

“Tetapi, mungkin kalau PKP dilanjutkan sampai raya, baru kedegilan ini akan beransur hilang,” katanya.

Keadaan ini memaksa kerajaan mengambil tindakan lebih tegas apabila penguatkuasaan polis kini memasuki fasa ‘keras’ dalam usaha memastikan masyarakat patuh kepada pelaksanaan PKP.

“Mulanya berlembut dan menasihati, selepas itu bertukar kepada tegas dan kini mod pihak polis adalah keras, jadi kita harap rakyat patuh (PKP),” kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu laporan media.

Dalam hal ini, kita sudah tidak boleh mengharapkan kerajaan, pasukan kesihatan mahupun pasukan keselamatan negara sahaja bagi mengekang penularan virus yang boleh membawa maut ini ini tetapi semua anggota masyarakat perlu memainkan peranan.

Justeru, fasa ketiga PKP adalah tempoh sangat kritikal buat rakyat Malaysia dalam menentukan usaha memutuskan rantaian jangkitan wabak COVID-19 ini berjaya ataupun sebaliknya.

Patuh, jangan degil, duduk di rumah, kerap membasuh tangan serta amalkan penjarakan sosial yang ditetapkan. Kita semua mesti melakukannya! 

Kategori