COVID-19 Cetus Krisis Kesihatan Mental Global – PBB

GENEVA – Penularan COVID-19 berisiko mencetuskan krisis kesihatan mental global, sekali gus tindakan segera diambil bagi menangani penderitaan psikologi yang ditimbulkan oleh pandemik itu, gesa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Ketika perlindungan kesihatan fizikal menjadi perhatian utama ketika ini, PBB juga memberi amaran bahawa wabak COVID-19 juga menyebabkan tekanan mental membabitkan sejumlah besar populasi penduduk dunia.

“Selepas berpuluh-puluh tahun pengabaian dan kekurangan pelaburan dalam perkhidmatan kesihatan mental, pandemik COVID-19 kini menjejaskan keluarga dan masyarakat dengan tekanan mental tambahan,” Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres memberi amaran dalam satu pesanan video ketika melancarkan taklimat.

“Walaupun apabila pandemik itu dapat dikawal, kesedihan, kegelisahan dan kemurungan akan terus mempengaruhi orang ramai dan masyarakat,” katanya.

MATI PUCUK? DAPAT RAWATAN SEGERA… KLIK

Taklimat PBB itu menekankan mengenai tekanan mental terhadap orang yang takut mereka atau orang tersayang akan dijangkiti atau mati akibat COVID-19, yang mengorbankan hampir 300,000 orang di seluruh dunia sejak pertama kali muncul di China akhir tahun lalu.

Ia juga memberi kesan psikologi ke atas sebilangan besar orang yang kehilangan atau berisiko kehilangan mata pencarian, terpisah daripada orang tersayang atau menderita di bawah perintah sekatan pergerakan yang drastik.

“Kita tahu bahawa situasi semasa, ketakutan dan ketidakpastian, kemelut ekonomi – semuanya menyebabkan atau boleh menyebabkan tekanan psikologi,” kata Devora Kestel, Ketua Jabatan Kesihatan Mental Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pada taklimat maya.

Petugas penjagaan kesihatan dan responden pertama, yang beroperasi di bawah ‘tekanan yang luar biasa’, sangat terdedah, kata Kestel, merujuk kepada laporan berita yang menunjukkan peningkatan insiden bunuh diri dalam kalangan petugas perubatan.

Sebilangan besar kumpulan lain juga berdepan cabaran psikologi tertentu yang ditimbulkan oleh krisis terbabit. Kanak-kanak yang dihalang ke sekolah, sebagai contoh, berdepan ketidakpastian dan kegelisahan.

Begitu juga wanita, mereka turut berdepan dengan peningkatan risiko keganasan rumah tangga berikutan orang ramai banyak menghabiskan masa terkurung di rumah.

Sementara itu, warga emas dan pesakit yang menghidap penyakit kronik dan dianggap sangat berisiko dijangkiti virus itu, berdepan tekanan yang meningkat terhadap ancaman jangkitan.

Mereka yang disahkan mempunyai masalah psikologi dapat melihatnya bertambah teruk, ketika akses mendapatkan rawatan biasa dan terapi bersemuka mungkin tidak dapat dilakukan.

Taklimat dasar PBB pada Khamis menekankan pelbagai kajian di peringkat kebangsaan menunjukkan tekanan mental sedang meningkat dengan cepat.

Satu kajian di wilayah Amhara di Ethiopia menunjukkan 33 peratus penduduk menderita gejala yang berkaitan dengan kemurungan, ‘peningkatan tiga kali ganda’ daripada sebelum pandemik.

Kajian lain menunjukkan tekanan mental meningkat di tengah-tengah krisis sebanyak 60 peratus di Iran dan 45 peratus di AS, kata Kestel.

Kajian di Kanada yang menunjukkan hampir separuh petugas kesihatan berkata mereka memerlukan sokongan psikologi.

Taklimat PBB itu menekankan mengenai keperluan untuk semua negara menyediakan akses kepada sokongan psikososial dan penjagaan mental kecemasan dalam semua aspek tindak balas terhadap pandemik berkenaan.

Ia menggesa kepentingan menambah pelaburan dalam bidang itu, dengan berkata bahawa sebelum krisis, negara-negara secara purata hanya memperuntukkan dua peratus daripada peruntukan kesihatan awam untuk sokongan kesihatan mental. – Agensi