Coronavirus Sudah Memasuki Amerika Syarikat

WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) mengumumkan virus baru berasal dari China sudah memasuki negara itu, semalam.

Lelaki yang dijangkiti coronavirus itu ialah penduduk tetap AS berusia dalam lingkungan 30-an dan tinggal berhampiran Seattle.

Virus berkenaan sehingga semalam, sudah mengorbankan enam nyawa di China.

Lelaki berkenaan yang berasal dari Wuhan, kembali ke AS pada 15 Januari lalu lalu, kira-kira dua hari sebelum pegawai kesihatan mula melakukan saringan ke atas penumpang yang tiba dari bandar China berkenaan.

Menurut pegawai Jabatan Kesihatan Negeri Washington, Chris Spritters, lelaki berkenaan kini dirawat di hospital bagi pemantauan jangka pendek.

Sementara itu, Pengarah Pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS (CDC), Nancy Messonier, menjangka risiko untuk rakyat AS dijangkiti wabak itu pada tahap rendah.

“Virus baharu ini semakin merebak dan kami menjangka pertambahan pesakit di AS serta di seluruh dunia,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan mengadakan pertemuan tergempar hari ini bagi menentukan keperluan bagi mengisytiharkan darurat peringkat global, memandangkan wabak ini sudah tersebar ke pelbagai negara, termasuk Thailand, Jepun, Korea Selatan dan Taiwan. – Agensi

Loading...