Contohi Kanada Beri Vaksin Kepada Remaja – Dr Jemilah

PUTRAJAYA – Keputusan Kanada meluluskan penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech COVID-19 untuk remaja berusia 12 tahun ke atas wajar dicontohi Malaysia.

Penasihat Khas Kesihatan Awam kepada Perdana Menteri, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood, berkata beliau berharap Badan Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan (KKM) juga akan memberikan kelulusan sama.

Beliau berkata, ia berikutan 30 peratus populasi negara berusia bawah 18 tahun.

“Ini adalah berita sangat baik! Saya berharap @KKMPutrajaya NPRA juga akan meluluskannya.

“Untuk mencapai imuniti kelompok, ini juga adalah kumpulan penting yang juga berisiko dijangkiti,” katanya menerusi Twitter hari ini.

Agensi berita AFP melaporkan Kanada menjadi negara pertama memberi kelulusan penggunaan vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech terhadap populasi berusia 12 tahun negara itu.

Laporan itu memetik Ketua Penasihat Perubatan Kesihatan Kanada, Supriya Sharma, yang bercakap pada satu sidang media, yang dilaporkan berkata, ia adalah vaksin pertama yang diluluskan di Kanada untuk pencegahan COVID-19 pada remaja dan menandakan tunggak penting dalam memerangi pandemik itu.

Media sebelum ini melaporkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata bekalan vaksin fasa pertama bagi negara ini terhad kepada individu berusia 18 tahun ke atas memandangkan belum ada data dan kajian terperinci berkaitan keselamatan penggunaannya terhadap kanak-kanak.

Dr Noor Hisham dilaporkan berkata, kebanyakan kajian vaksin tidak dijalankan dalam kalangan individu bawah 18 tahun. – BH Online