Coleman Bintang Pecut AS Kini Tumpuan Dunia

HEBAT… Christian Coleman yang merupakan anak kelahiran Atlanta, Amerika Syarikat (AS) tampil sebagai wira menerusi acara pecut 60 meter dalam dewan di Kejohanan Olahraga AS, Albuquerque.

Pelari yang baru berusia 21 tahun itu telah melakar rekod baharu 6.34 saat sekali gus mengalahkan catatan rakan senegara, Maurice Greene 0.05 saat lebih pantas ketika beraksi pada tahun 1998 di Madrid, Sepanyol.

Tumpuan dan harapan diberikan kepada Coleman sebagai raja pecut baharu bagi menggantikan Usain Bolt dari Jamaica yang kini sudah bersara daripada Kejohanan Olahraga Dunia Dalam Dewan anjuran IAAF.

Sehingga kini, Coleman masih berusaha keras bagi menambah baik catatan lariannya.

“Saya sudah bekerja keras sejak mula dan gembira melakukannya kerana saya sasarkan untuk menang kali ini,” katanya.

Coleman bakal menghadapi pencabar terdekat iaitu rakan senegaranya, Michael Rodgers dan Ronnie Baker.

Su Bingtian yang merupakan pencabar dari China bakal memberi saingan yang kuat kepada Coleman apabila beliau berjaya melakar rekod 6.50 saat di Glasgow Ahad lalu. – MYNEWSHUB.CC/MIZE