CIQ Perlu Diwujudkan Di Pagalungan – Ewon

PAGALUNGAN (Sabah) – Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) perlu diwujudkan di kawasan Pagalungan bagi menggalakkan aktiviti ekonomi antara daerah itu dengan wilayah-wilayah di negara jiran Indonesia, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah Datuk Ewon Benedict.

Beliau berkata CIQ di kawasan itu penting terutamanya Sungai Lohongon sebagai laluan perdagangan antara Sabah dan Kalimantan, Indonesia.

“Di Pagalungan, laluan utamanya masih menggunakan sungai yang melibatkan pergerakan manusia di antara Sabah (Malaysia) dan Kalimantan (Indonesia). Masyarakat di kedua-dua negara ini saling memerlukan sungai itu (Lohongon).

“Jadi, ia satu laluan perdagangan yang sangat mustahak sekali,” katanya kepada Bernama di sini.

Baru-baru ini, Ewon dan beberapa pegawai kanan dari kementeriannya dan dari agensi persekutuan melakukan lawatan kerja ke sini untuk melihat kehidupan masyarakat di daerah kecil pedalaman itu, di kawasan pesisir Sungai Lohongon, berhampiran sempadan Sabah – Kalimantan, Indonesia.

Ewon berkata disebabkan ketiadaan jalan darat, penduduk Sabah di Pagalungan dan rakyat Indonesia di kawasan sempadan amat bergantung kepada sungai sebagai laluan untuk mendapatkan bekalan bahan mentah, barang keperluan harian serta kelengkapan lain.

Ewon berkata Sungai Lohongon, selain berperanan utama sebagai laluan perdagangan, ia juga berpotensi dikomersilkan melalui aktiviti sukan berasaskan sungai seperti yang dilaksanakan di Kadamaian, Kota Belud.

“Rakyat di Kadamaian telah mengoptimumkan penggunaan sungai untuk pelbagai aktiviti komersil bagi memberikan pendapatan kepada penduduk setempat,” katanya.

Sepanjang berada di daerah perbatasan Sabah–Kalimantan itu, Ewon meluluskan peruntukan untuk pembaikan dan penyelanggaraan Balai Budaya Kampung Inakak, projek bekalan air graviti Kampung Kakutar dan Kampung Salinatan, yang masing-masing sebanyak RM50,000.

Beliau turut menyerahkan peruntukan khas sebanyak RM7,000 bagi pengurusan Balai Budaya Kampung Pagalungan. – BERNAMA

Loading...