Cipta Replika Kapal Terbang Dari Buluh Terbuang

IDEA menghasilkan replika kapal terbang perang yang diberi nama “zero fighter” tercetus secara spontan selepas penduduk Kampung Beladau Kepong, Kuala Terengganu mendapati terdapat lebihan buluh selepas kerja pemasangan bendera Barisan Nasional (BN).

Lapor Berita Harian, panjang kapal terbang itu kira-kira 10 meter dan lebar sayapnya pula mencapai tujuh meter dengan menggunakan sebanyak 40 batang buluh dan barang-barang tambahan seperti tikar getah, paip dan bendera parti.

Setiap batang buluh yang digunakan untuk membina replika itu dibalut dengan tikar getah bagi mengelak bendera yang dipasang pada buluh mudah tercabut.

Pengerusi J3K Kampung Beladau Kepong, Hashim Abdullah, 60 berkata, seramai 35 orang pemuda kampung melakukan gotong-royong pada sebelah malam menyiapkan replika berkenaan yang mengambil masa selama dua minggu.

“Kita membina kapal terbang ini sebagai simbolik mengenai penjajahan Jepun ke atas Tanah Melayu dan selepas merdeka wujudnya parti perikatan sebelum BN menerajui negara hingga kini.

“Generasi muda mungkin hanya mengetahui peristiwa itu melalui buku sejarah namun bagi golongan terdahulu mereka dapat merasai keperitan hidup di bawah kuasa penjajah,” ujarnya.

Replika yang berjaya disiapkan dan ditempatkan di markas BN Kampung Beladau Kepong melambangkan kerjasama utuh penduduk kampung dari pelbagai lapisan umur.

Menjelang hari pengundian, replika tersebut menjadi tumpuan penduduk di sekitar kawasan kampung itu dengan hasil binaannya yang sangat unik dan kreatif. – MYNEWSHUB.CC/MIZE

*Video sekadar hiasan…

Loading...