“Cinta Saya Pada UMNO Masih Dalam” – Anifah

BONGAWAN – Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman membuat keputusan keluar UMNO pada 2018 untuk tidak menyakiti hati presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kerana beliau lantang menyuarakan hak Sabah.

Anifah menjelaskan beliau tidak meninggalkan UMNO untuk menyertai parti lain, sebaliknya mahu menjadi pemimpin bebas supaya boleh menyuarakan hak rakyat Sabah tanpa perlu bimbang menyakiti hati sesiapa.

“Tentu kamu mahu tahu kenapa saya keluar UMNO, tapi saya bukan ikut parti lain. UMNO yang pertama bagi saya dan cinta saya kepada parti itu masih dalam.

“Saya keluar menjadi bebas untuk menjaga hati presiden kerana saya bimbang terlebih batas apabila menuntut hak Sabah sehingga menyakitkan hati presiden. Sekarang, sayalah presiden dan timbalan presiden, jadi saya bebas bercakap,” katanya.

Bekas Ahli Parlimen Kimanis itu membuat pendedahan berkenaan ketika menyertai Ahmad Zahid dan Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin pada ceramah Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis, di sini, malam tadi.

Yang turut hadir ialah calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Alamin dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Di pentas sama, Anifah turut mengakui beliau dihubungi Ahmad Zahid yang menawarkannya untuk bertanding PRK Kimanis tetapi menolaknya kerana kekal dengan pendirian tidak bersetuju dengan tindakan mahkamah serta perbuatan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menyebabkan kelayakannya sebagai Ahli Parlimen dibatalkan.

Namun, jelasnya beliau menyatakan sokongan kepada BN sejajar janjinya kepada rakyat Kimanis untuk terus bersama mereka walau apapun yang terjadi.

“Saya cakap sokong BN tetapi ia bersyarat iaitu apa saja yang dituntut menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), saya minta UMNO dan BN menyokong dan dia kata insya-Allah, jadi tiada sebab saya tidak mahu bersama mereka seperti malam ini,” katanya. – BH Online

Loading...