Choong Hann Lapor Diri Di BAM Khamis Ini

KUALA LUMPUR – Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Wong Choong Hann akan memulakan tugasnya pada Khamis ini bagi persiapan awal dalam merangka program atlet badminton ke Sukan Olimpik 2020.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata Choong Hann yang sepatutnya memulakan tugasnya di BAM pada Januari tahun depan menunjukkan komitmen tinggi dalam persiapan atlet​​​​​​​ ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Beliau bersetuju memulakan tugasnya pada Khamis ini (15 Nov), saya rasa lebih cepat beliau memulakan tugas lebih baik supaya dia boleh berbincang dengan semua jurulatih mengenai program kejurulatihan.

“BAM juga perlu membentangkan perancangan program Road to Olympic 2020 kepada Majlis Sukan Negara (MSN) iaitu bersesuaian dengan bajet dan penstrukturan semula Program Podium yang telah diumumkan baru-baru ini,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Stadium Juara, Bukit Kiara di sini.

Objektif utama pelatikan Choong Hann yang diumumkan pada bulan lepas adalah merealisasikan matlamat memenangi pingat emas pada Olimpik Tokyo 2020.

Choong Hann bukanlah nama asing dalam badminton tanah air, beliau adalah antara pemain negara yang berjaya di pentas antarabangsa dengan pernah memegang status sebagai pemain nombor satu dunia.

Beliau juga pemain perseorangan lelaki pertama yang meraih pingat pada Kejohanan Dunia selain membantu skuad negara muncul naib juara dua kali pada saingan Piala Thomas 1998 dan 2002. – BERNAMA

Loading...