China Tawar Kurangkan Hampir Separuh Kos ECRL

KUALA LUMPUR – China menawarkan untuk mengurangkan hampir separuh kos pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bernilai AS$20 bilion dalam usaha menyelamatkan mercu tanda projek pembangunannya di Asia Tenggara, kata dua sumber hari ini.

Bagaimanapun, kenyataan bercanggah beberapa menteri Malaysia membuatkan hasil tawaran terbaru itu menjadi tanda tanya, sekali gus mendedahkan status ERCL dan cabaran politik serta diplomatik yang dihadapi kerajaan di bawah Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohammad, dalam perundingan semula kontrak terbabit.

“Jika hanya mengenai kos, China menawarkan pengurangan yang besar, hampir separuh,” kata salah satu sumber yang mengetahui inti pati rundingan yang sedang berjalan.

China Communications Construction Co Ltd. (CCCC) menawarkan untuk mengurangkan separuh kos pembinaan berjumlah RM67 bilion ringgit atau AS$16.39 bilion bagi jajaran landasan sepanjang 688 kilometer, kata sumber berkenaan.

Pengurangan itu hanya bagi kos membabitkan pembinaan, tidak termasuk kos kadar faedah dan kos pengambilan tanah.

Walaupun ada tawaran pengurangan kos, kerajaan Malaysia memutuskan untuk membatalkan kontrak berkenaan bulan ini, kata sumber yang enggan dikenali kerana membabitkan isu sensitif.

Selepas mengambil alih kerajaan Mei tahun lalu, Dr. Mahathir yang sebelum itu lantang mengkritik pelaburan China di Malaysia, berikrar akan berunding semula atau membatalkan sama sekali apa yang beliau sifatkan sebagai projek China yang ‘tidak adil’, diluluskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan bertindak menangguhkan projek ECRL Julai lalu.

Bagaimanapun, semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata Malaysia sedang meneruskan rundingan lanjut dengan China, namun beberapa hari sebelum itu ada menteri yang lain memaklumkan bahawa Kabinet Malaysia memutuskan untuk membatalkan kontrak berkenaan, disusuli pula tindakan Dr. Mahathir sehari selepas itu memohon persefahaman China berhubung usul pembatalan itu.

Rundingan terus diadakan sejak Julai lalu dengan Malaysia memberi isyarat ia sedang mencari tawaran yang lebih murah kepada inisiatif rangkaian laluan darat ‘One Belt, One Road’ China di Asia Tenggara itu.

Di Beijing, jurucakap Kementerian Luar China, Geng Shuang, berkata minggu ini beliau menyaksikan laporan mengenai pembatalan projek itu tetapi tidak maklum mengenai butiran terperincinya.

“Setakat yang saya tahu, projek ini dipersetujui oleh syarikat dari kedua-dua belah pihak selaras dengan amalan dan prinsip pasaran berasaskan kesaksamaan, manfaat bersama dan konsensus.

“Pihak China dan Malaysia masih saling berhubungan mengenai isu berkaitan,” katanya yang enggan mengulas lanjut. – Reuters

Loading...