China Sedia Tambah Bekalan Perubatan Kepada Malaysia

KUALA LUMPUR – China sedia membantu membekalkan peralatan perubatan yang diperlukan termasuk topeng muka dan cecair pembasmi kuman kepada Malaysia bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Perkara itu diumumkan Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein susulan pertemuan beliau dengan Duta China ke Malaysia, Bai Tian di Wisma Putra hari ini.

Hishammuddin berkata, beliau akan menulis surat rasmi kepada rakan sejawatnya di China, Wang Yi bagi merealisasikan komitmen republik itu supaya rakyat Malaysia dapat dilindungi sepanjang krisis wabak berkenaan.

“Saya gembira menerima kunjungan Bai Tian dan dalam pertemuan tadi, kami sering menekankan mengenai hubungan dua hala yang perlu diperkukuhkan, namun buat masa ini tumpuan perlu diberikan terhadap usaha menangani penularan COVID-19.

“Menerusi hubungan akrab kedua-dua negara, Bai Tian menyatakan komitmen China untuk membantu Malaysia termasuk membekalkan peralatan perubatan seperti topeng muka dan cecair pembasmi kuman serta peralatan penting yang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain Bai Tian, Hishammuddin turut menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, Shri Mridul Kumar di pejabatnya.

Beliau berkata, pertemuan itu penting bagi memperkukuhkan hubungan Malaysia-India yang sekian lama terjalin.

“Kami turut berkongsi harapan sama, hubungan Malaysia-India dapat menerokai ruang usaha sama baharu yang akan memberi manfaat besar kepada Malaysia dan India,” katanya. – BH Online

Loading...