China, Rusia Nafi Intip IPhone Milik Trump

BEIJING – Beijing hari ini menafikan laporan New York Times yang mendakwa perisik China mengintip panggilan telefon Presiden Donald Trump…

BEIJING – Beijing hari ini menafikan laporan New York Times yang mendakwa perisik China mengintip panggilan telefon Presiden Donald Trump sebagai ‘berita palsu’ dan berkata, presiden Amerika Syarikat (AS) itu patut beralih kepada telefon buatan China.

Akhbar berkenaan memetik kenyataan sumber tidak dikenali yang berkata, Rusia dan China sering mencuri dengar perbualan Trump bersama rakan-rakan atau sekutu di iPhone miliknya, sebelum menggunakan maklumat diperoleh untuk membentuk interaksi bersama AS.

Ketika ditanya mengenai laporan di sebuah taklimat berita, jurucakap kementerian luar China, Hua Chunying berkata ‘beberapa individu tertentu memiliki keupayaan untuk memenangi anugerah di majlis Oscar’.

Hua turut menawarkan tiga cadangan kepada akhbar harian AS dan pengurusan Trump.

“Pertama, The New York Times patut menyedari penyiaran berita seperti ini hanya memberikan bukti bahawa mereka membuat berita palsu,” katanya menggunakan antara taktik kegemaran Trump untuk menepis sebarang artikel yang tidak disukai.

“Kedua, jika mereka risau telefon Apple diceroboh, mereka patut bertukar kepada telefon jenama Huawei,” kata Hua, merujuk kepada antara firma telekomunikasi terbesar China yang diharamkan memasuki pasaran AS atas faktor keselamatan.

Akhir sekali, Hua menyarankan ‘mereka patut berhenti menggunakan sebarang peralatan komunikasi moden dan memutuskan hubungan dengan dunia luar jika mahu memastikan ia benar-benar selamat.

Rusia juga menafikan dakwaan dibuat AS itu.

“Kami menganggap berita ini sebagai satu jenaka,” kata jurucakap presiden, Dmitry Peskov. – AFP

Loading...