China Pasti Ketawakan PH, Najib Bidas Guan Eng, Mat Sabu

PETALING JAYA – Bekas perdana menteri mengkritik keputusan Putrajaya menyerahkan pembinaan semua empat kapal pesisir tentera (LMS) yang pembeliannya dipersetujui pada 2017 kepada syarikat China, mengatakan ia tidak memberi manfaat yang lebih besar selain penjimatan RM122 juta.

Najib Razak berkata 2 kapal sepatutnya dibina Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd., anak syarikat Boustead Holdings Bhd. (BHB) milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), yang akan menyediakan pekerjaan untuk anak tempatan, perpindahan teknologi dan kemahiran, dan mengurangkan kebergantungan kepada negara asing.

“Ada limpahan ekonomi dan ada kitaran wang dalam negara kita yang berkali-kali ganda lebih besar berbanding RM122 juta yang kononnya dijimat.

“Sekarang limpahan ekonomi dan kitaran wang semua ada di China,” katanya di Facebook.

Pada Selasa, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu memaklumkan Dewan Rakyat keputusan Kementerian Kewangan berkenaan pembinaan empat kapal berkenaan menyaksikan semakan harga kontrak daripada RM1.17 bilion kepada RM1.048 bilion, yang akan menjimatkan wang rakyat.

Najib bagaimanapun menyifatkan pemikiran sebegitu sempit dan tidak berpandangan jauh, kerana selain limpahan ekonomi, keuntungan yang diperoleh BHB bermakna dividen kepada LTAT dan kemudian kepada ahli-ahlinya.

“Pandai tak Menteri Kewayangan dan Mat Sabu ini?” kata Najib.

“Takkan benda-benda ‘simple’ macam ini pun dia tak tahu? Saya pasti China kini bergelak tertawa atas langkah kerajaan PH kita,” katanya. – FMT

Loading...