China Hasilkan Telefon, Tablet Boleh Lentur

LONDON – Sebuah syarikat barangan elektronik konsumer China, TCL Corporation (TCL) sedang menghasilkan sebuah telefon pintar yang boleh dilenturkan untuk dipakaikan pada pergelangan tangan.

Telefon pintar itu juga diubah bentuk menjadi jam pintar.

Peranti itu merupakan salah satu daripada lima rekaan syarikat tersebut yang menampilkan skrin yang mudah lentur.

“Apa yang menarik ialah syarikat China ini sedang membangunkan lima peranti yang mempunyai skrin boleh lentur. Ia termasuk dua buah tablet dan telefon pintar yang boleh dilipat.

“Satu lagi produk yang dihasilkan ialah model telefon yang boleh melengkung seperti jam tangan pintar,” menurut laporan portal teknologi XDA Developers baru-baru ini.

Menurut laporan itu, TCL juga mempunyai lesen untuk penghasilan model telefon jenama BlackBerry dan Alcatel.

Syarikat itu lebih dikenali sebagai salah satu vendor produk televisyen terkenal di Amerika Syarikat.

Peranti pintar itu dijangka dipertontonkan pada Mobile World Congress di Barcelona, Sepanyol pada 25 hingga 28 Februari ini. – Agensi