China Benar Etnik Kazakh Lepaskan Kerakyatan

ALMATY – China membenarkan lebih 2,000 etnik Kazakh melepaskan kewarganegaraan China dan meninggalkan negara itu, lapor Kementerian Luar Kazakhstan, petanda Beijing mula merasai tekanan antarabangsa berhubung operasi terhadap orang Islam di rantau Xinjiang.

Penahanan penduduk etnik Islam ­Uighur, Kazakh dan puak minoriti lain di kem-kem menjadi isu sensitif di negara jirannya, Kazakhstan yang mempunyai populasi 18 juta orang.

China merupakan rakan dagangan utama Kazakhstan. Bagaimanapun, aktivis-aktivis berkata, tekanan supaya tindakan dilaksanakan berhubung krisis itu semakin meningkat susulan liputan mengenainya oleh agensi berita Associated Press (AP) dan media lain.

Pejabat akhbar Kementerian Luar dalam jawapan melalui e-mel kepada AP mengesahkan laporan media Kazakhs­tan pada Disember 2018 bahawa China bersetuju membenarkan lebih 2,000 etnik Kazakh meninggalkan negara itu.

Mereka akan dibenarkan memohon kerakyatan ataupun status penduduk tetap selepas tiba di Kazakhstan, demikian menurut e-mel itu.

Kementerian Luar China tidak memberikan jawapan apabila diminta me­ngulas perkara tersebut.

Pihak berkuasa China di Xinjiang melancarkan kempen pengawasan dan penahanan yang menyaksikan lebih sejuta orang dimasukkan ke kem-kem tahanan.

Sebilangan bekas tahanan berkata, mereka dipaksa melupakan kebudayaan dan agama serta menjadi mangsa indoktrinasi politik. – AP

Loading...