Chef Wan Dedah Najib Minta Bantuannya Ketika Bergelar PM

SHAH ALAM – Tokoh Ikon Felda, Datuk Redzuawan Ismail mendedahkan beliau diminta berkongsi pengalaman dan memberi motivasi kepada warga Felda sejak Datuk Seri Najib Tun Razak masih bergelar Perdana Menteri lagi.

Beliau juga yang dikenali sebagai Chef Wan turut berang dengan sindiran Najib yang secara sinis mengatakan beliau telah dirasuk syaitan berhubung kenyataannya di akaun Instagram mengenai golongan peneroka Felda.

“Apabila saya diminta oleh kementerian sebelum ini iaitu Pembangunan dan Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan Wanita untuk memberikan motivasi dan memperkasakan peneroka Felda serta di daerah-daerah lain yang bukan di bawah agensi Felda, saya telah dimaklumkan oleh pegawai-pegawai mereka bahawa terdapat banyak isu sosial yang sedang dihadapi orang-orang Melayu Felda.

“Saya nak tanya Najib jika saya ini manusia yang tak baik dan tidak berjaya di dalam kerjaya saya kenapa hantar saya untuk bantu beliau dan kementeriannya?” katanya menerusi kenyataan yang dimuatnaik menerusi akaun Instagram hari ini.

Sebelum ini Najib secara sinis menyindir Chef Wan telah dirasuk syaitan dan beliau yakin Chef Wan itu akan meminta maaf susulan mengeluarkan kenyataan di akaun Instagram mengenai golongan peneroka Felda.

Mengulas lanjut, Chef Wan berkata kenyataannya terhadap warga Felda adalah berdasarkan makluman yang diberikan oleh pegawai kementerian ketika itu yang meminta bantuannya untuk memberi motivasi kepada golongan itu.

“Mereka kata ‘Chef Wan tolong bawa semua isu ini kepada mereka yang malas, mencuri, menipu duit baja, kahwin lari, ambil dadah dan macam-macam lagi sebelum beri motivasi kepada mereka. Kongsikan semua pengalaman dan kepayahan sehingga anda berada di kedudukan sekarang.

“Menuduh saya ‘jilat’ Tun Mahathir dan macam-macam lagi untuk menerima anugerah padahal Tun Mahathir pun tak tahu saya akan menerima anugerah itu pun! Semua fitnah ke atas saya tak berasas,” tegasnya.

Pada masa sama beliau menyifatkan kenyataan bekas Perdana Menteri itu bersifat hasad dengki.

“Dia (Najib) sanggup senaraikan apa saya kata, dan ‘twist’ supaya orang lain percaya bahawa apa yang saya katakan itu ditujukan kepada semua warga Felda bukan segelintir sahaja.

“Selepas itu, batu-batu api ini viral kenyataan itu di media sosial supaya semua orang yang baca akan percaya bulat-bulat dengan tujuan mahu jatuhkan kredibiliti saya sebagai Ikon Felda!” katanya. – Sinar Harian

Loading...