Chan Dan Kisah Hidupnya: Momen Berharga

SELALUNYA kalau naik teksi dan bertemu dengan pemandu yang ramah, pasti seminit akan saling bertanya khabar. Hanya minit pertama, perbualan seterusnya pasti terseret ke isu politik.

Memang benar, tiga puluh tahun melanggan teksi dan dalam tiga dekad itu juga negara telah melalui perubahan di bawah pentadbiran tiga orang perdana menteri.

Relatifnya, pemandu teksi juga telah bertukar generasi. Namun, DNA-nya sama; mereka kelompok yang tegar dalam berbual isu politik semasa.

Masa berubah. Sejak tiga bulan lalu, teksi bukan lagi pilihan hati saya. E-hailing jadi pilihan kerana ia perkhidmatan yang lebih glamor dan trending.

Cuma pagi ini, aplikasi Grab dan Uber di telefon pintar ada mengalami masalah. Jadi, terpaksa kembali ke gaya hidup lama; berdiri di tepi jalan dan menunggu teksi.

Bandar Sri Permaisuri di Cheras, Kuala Lumpur sentiasa dipenuhi pemandu teksi. Jadi, hanya dua minit menunggu, teksi pun lalu dan berhenti.

Pemandunya lelaki Cina warga emas dan berkaca mata. Dia tersenyum lembut dan bertanya: “Encik kau ke mana?”

“Pusat Islam.” Mendengarkan jawapan saya, pemandu teksi itu tersenyum. Pintu dibuka, setelah saya duduk, kenderaan pun bergerak.

“Alhamdulillah,” kata pemandu teksi dalam pelat Cina.

Memang jelas dia Cina. Memang jelas dia ramah. Tapi saya menganggap perkataan Alhamdulillah yang diungkapkan hanyalah satu latihan mesra dalam berkomunikasi dengan pelanggan Islam.

Uncle asal mana?” Tanya saya.

Dia menjawab cepat: “Lahir sana Masjid Tanah, Melaka. Ayah mati masa saya umur 12 tahun.”

Saya mendengar jawapan yang ramah. Setelah bapanya meninggal dunia pada 1970, dia dan ibunya memilih untuk merantau ke Kuala Lumpur.

Kebetulan mereka hanya dua beranak. Dua abangnya mati pada usia belum lima tahun kerana masalah kesihatan. Itu sejarah zaman sebelum negara merdeka.

“Saya sama emak mari KL. Duduk sana setinggan Jalan Tiga, Chan Sow Lin,” katanya.

Waktu itu saya terpandang permit teksi di papan muka kereta. Masyaallah. Namanya Abdullah Chan Yan. Saya terkedu dan menyedari pemandu teksi ini seorang Muslim.

Abdullah Chan meneruskan cerita zaman kecilnya di KL. Setiap hari sejak menetap sebagai setinggan di Chan Sow Lin, dia dan ibunya menaiki bas Tong Fong ke Balakong. Rutin kekal tujuh hari seminggu.

“Itu jam, saya sama emak potong getah sana kebun Balakong.”

Hampir setengah abad lalu. Kisah tahun 1970. Waktu saya belum kenal KL, apa lagi Balakong. Malah, melalui cerita Abdullah Chan, baru saya perasan, kawasan Chan Sow Lin dulu adalah kampung setinggan komuniti Cina.

Sejarah bas Tong Fong warna merah itu pun, saya sempat gunakan. Pada pertengahan dekad 1980-an, sebelum berkubur pada awal dekad 1990-an.

“Bila masuk Islam?”

Abdullah Chan menjawab pantas: “2014. Mahu masuk awal, tapi saya takut emak kecil hati. Bila emak mati tahun 2008, baru saya mari belajar Islam.

“Jumpa ramai kawan Cina masuk Islam. Jadi saya pun cakap, sudah lama mahu masuk Islam.”

Abdullah Chan lahir tahun 1958. Tahun ini usianya genap 60 tahun. Dia tidak berkahwin. Sejak usia muda, dia menjaga ibunya yang sakit dan meninggal dunia sepuluh tahun lalu pada usia 89 tahun.

Kami tiba di Pusat Islam selang 15 minit kemudian. Setelah bersalaman dan saling mengucapkan doa moga dirahmati Allah, saya turun dan teksinya berlalu pergi.

Semuanya tiba-tiba terasa indah. Melalui hari bersama pemandu teksi tanpa perlu berbual hal-hal politik. Mengenali seseorang mualaf yang kaya pengalaman hidup dan sudi berkongsi dengan ramah.

Mengenali Abdullah Chan, satu pengalaman amat berharga. Moga Allah merahmati Abdullah Chan. Amin Ya Rabb Alamin… – MYNEWSHUB.CC

Loading...