Cetak Wang: Pemuda UMNO Tegur Ketua Armada

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO hari ini menegur sikap Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal kerana masih mempertahankan idea agar Bank Negara mencetak lebih banyak wang kertas untuk diagihkan kepada rakyat bagi dibelanjakan.

Ketua Pemudanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebaliknya mencadangkan kepada Wan Ahmad agar tumpuan diberikan kepada isu berkaitan suara rakyat.

“Sudah-sudah la menegakkan teori mencetak wang kertas yang ternyata tiada manfaat jelas kepada rakyat,” kata Asyraf melalui akaun media sosial miliknya.

Jelas Asyraf, isu sebenar yang seharusnya mendapat perhatian adalah berkaitan pengeluaran wang melalui akaun 1 KWSP dan lanjutan moratorium.

Wan Ahmad yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan membuat cadangkan mencetak wang itu melalui temuramah dengan sebuah stesen radio baru-baru ini.

Walaupun selepas dikritik dengan begitu hebat, beliau masih mempertahankan ideanya itu.

Beliau berkata pengkritiknya “salah faham” dengan cadangannya dan membuat andaian palsu.

“Nampak ramai salah faham dalam mengkritik berkenaan “pengampunan hutang” dan “penciptaan wang” yang saya kupas tempoh hari dalam bahasa Inggeris dalam siaran BFM.

“Jujur tajuk ini memang teknikal dan perlu perbincangan lanjut dan asas tentang asal usul wang, dan perbankan moden.

“Kalau tidak jelas, maka jadilah andaian-andaian palsu kononnya akan berlaku hiper-inflasi seperti Zimbabwe. Ini tidak tepat,” katanya. – Mynewshub.TV

Loading...