“Cenderahati Diraja Pun Kau Nak Curi Dan Jual?”

KEHILANGAN 11 cenderahati diraja di Istana Sultan Abu Bakar, Pekan, Pahang yang menjadi tanda tanya akhirnya terjawab apabila seorang lelaki berusia 45 tahun didapati menjadi dalang kes itu.

Menurut lapor akhbar tempatan, suspek dikesan telah mencuri dan menjual barang berharga tersebut di sebuah kedai emas yang berhampiran sebelum berjaya ditahan pihak polis.

Ketua Polis negeri, Datuk Seri Rosli Ab. Rahman berkata, pihaknya telah mengesan beberapa suspek yang dipercayai terlibat dalam kes pencurian cenderahati diraja tersebut setelah menerima laporan kehilangan tersebut 7 Mac lalu.

“Hasil siasatan mendapati terdapat beberapa cap jari milik seorang penduduk tempatan dan suspek ditahan sebelum direman bermula 3 April.

“Susulan itu, seorang lagi suspek yang juga kakitangan istana dipercayai terlibat sebagai dalang kejadian ini,” katanya semasa Program Lawatan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) sempena peringatan Hari Polis ke-211 di sini hari ini.

Siasatan ke atas suspek mendapati bahagian cenderahati yang diperbuat daripada emas telah dijual dengan harga mencecah RM60,000 di sebuah kedai emas di Pekan.

Pihak polis telah membuat rampasan blok emas yang didapati cenderahati diraja itu di kedai emas berkenaan dan masih lagi menyiasat lebih lanjut untuk mengumpul bukti kukuh bagi mensabitkan suspek dan dalang kejadian ini.

Suspek yang dirahsiakan identitinya mengaku bersalah dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan. – MYNEWSHUB.CC/MIZE

*Video sekadar hiasan…