Cemar Sungai Selangor, Reman 4 Suspek Disambung

SELAYANG – Perintah reman ke atas seorang wanita yang juga pengarah sebuah syarikat pembinaan jalan raya disambung sehari lagi sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan berhubung pencemaran bau di Sungai Selangor.

Majistret Nor Hafizah Rajuni turut memerintahkan tiga lagi suspek iaitu seorang pengarah dan dua pekerjanya disambung reman enam hari bermula esok sehingga 23 November ini berhubung siasatan sama.

Terdahulu, semua suspek berusia antara 33 hingga 43 tahun hadir ke mahkamah kira-kira jam 9.25 pagi.

Siasatan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan, kerana melakukan perbuatan khianat sehingga menyebabkan berlaku pemutusan bekalan air untuk tujuan pertanian, makanan atau minuman kepada manusia dan haiwan atau bagi menjalankan sebarang pengeluaran.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 11 November lalu, keempat-empat suspek direman tujuh hari selepas mahkamah membenarkan permohonan pihak polis untuk menahan mereka sehingga 17 November ini.

Sebelum ini, media melaporkan empat Loji Rawatan Air (LRA) dihenti tugas berikutan pencemaran bau bahan pelarut yang dikesan di Sungai Selangor.

LRA itu adalah Sungai Selangor Fasa 1,2,3 dan LRA Rantau Panjang.

Ini kejadian ketiga berturut-turut berlaku dalam tempoh tiga bulan bermula September lalu membabitkan henti tugas di LRA sama.

Susulam penutupan empat LRA berkenaan, dilaporkan lebih 1.1 juta pengguna akaun membabitkan 1,279 kawasan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Kawasan itu merangkumi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat. – BH Online