CAP Gesa Kerajaan Perkenal Akta Pencemaran Cahaya

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan memperkenalkan Akta Pencemaran Cahaya bagi mencegah pencemaran cahaya khususnya di kawasan bandar.

Presidennya SM Mohamed Idris berkata persekitaran malam yang terang berlebihan merupakan ‘pencemaran cahaya’ yang boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan.

“Sumber cahaya tiruan seperti lampu xenon kereta yang terang, lampu jalan dengan reka bentuk cahaya yang buruk, cahaya diod pemancar cahaya (LED), cahaya skrin telefon bimbit dan cahaya dalam rumah kita sendiri menjadi puncanya.

“Kebanyakan cahaya mengganggu kepekaan mental dan sistem imun menyebabkan pelbagai penyakit,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Justeru, pengguna dinasihatkan untuk tidak menerangi alam sekitar secara berlebihan dan jika boleh pilihlah lampu yang mengeluarkan cahaya kuning atau oren dan tutuplah lampu apabila tidak diperlukan, katanya.

Beliau berkata kerajaan juga digesa supaya memastikan lampu jalan tidak menyumbangkan kepada pencemaran cahaya dan akta pencemaran cahaya perlu digubal bagi menjadikan negara lebih selamat dan sihat. – BERNAMA

Loading...