Calon SPM, STPM Dibenar Berambut Panjang

KUALA LUMPUR – Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) boleh menduduki peperiksaan berkenaan, walaupun berambut panjang.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kedai gunting dan salon dandanan rambut tidak dibenarkan beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ada yang persoal bagaimana calon SPM dan STPM mahu menduduki peperiksaan jika berambut panjang. Ini kerana, peraturan di sekolah, pelajar perlu berambut pendek dan kemas.

“Kementerian Pendidikan sudah pun membuat keputusan hasil daripada perbincangan kita dalam sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Walaupun mereka berambut panjang, dibenarkan untuk ke sekolah tanpa tindakan oleh guru kerana kedai gunting dan salon rambut masih tidak dibenarkan beroperasi,” katanya pada sidang media di sini, hari ini. – BH Online