Calon PH PKR Rantau Diputuskan Selepas Pengumuman SPR

SUBANG JAYA – Pimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) akan memutuskan calon daripada parti komponennya bagi bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan status PRK berkenaan.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu berkata PH akan membuat keputusan muktamad selepas pengumuman itu.

“Kami (Amanah dan PH) menunggu pengumuman daripada SPR dan parti komponen yang akan bertanding dalam PRK itu akan diputuskan oleh PH,” katanya selepas merasmikan Majlis Konvensyen Amanah Negeri Selangor di sini hari ini.

Mohamad tidak mengulas lanjut berkenaan calon yang layak bertanding dalam PRK tersebut dan menyerahkan segala keputusan muktamad kepada pimpinan PH.

“Seperti kita tahu, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, DUN tersebut sepatutnya diwakili oleh (calon) PKR (Dr S. Streram). Bagaimanapun, PH akan membuat keputusan muktamad (mengenai calon dan parti yang bakal bertanding dalam PRK itu) dan mungkin logo PH dijangka akan digunakan bagi PRK DUN Rantau,” tambahnya.

Beliau mengulas demikian berikutan keputusan Mahkamah Pilihan Raya di Seremban, pada Jumaat lepas (16 Nov), mengisytiharkan kemenangan calon UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan bagi kerusi PRK Rantau dalam PRU14 adalah tidak sah dan terbatal.

Mohamad memenangi kerusi itu tanpa bertanding pada hari penamaan calon pada 28 April, selepas calon PKR Dr Streram tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon kerana tidak memiliki pas dikeluarkan oleh SPR.

Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun pula berkata PRK tersebut hanya akan diadakan jika tiada rayuan terhadap keputusan mahkamah itu dikemukakan di Mahkamah Persekutuan dalam tempoh 14 hari bermula 16 Nov lepas. – BERNAMA

Loading...