Calon PH Nafi Bahan Kempen Provokasi Di Semenyih

SEMENYIH – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Muhammad Aiman Zainali berkata, beliau akan mendapatkan maklumat lanjut berhubung beberapa bahan kempen pihaknya yang dikatakan bersifat provokasi.

“Kami akan lihat, kalau boleh kami akan turunkan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan kunjungan ke rumah pengundi di Kampung Sentosa di sini, hari ini.

Sejak semalam, terdapat beberapa kain rentang yang memaparkan logo PH bertulis “Kita Bukan Pencuri”, “Kita Bukan Pembohong” dan “Kita Bukan Perompak” telah dinaikkan di beberapa kawasan antaranya di persimpangan jalan di pekan Semenyih.

Sementara itu, Muhammad Aiman menafikan jentera kempennya terlibat dalam pengedaran risalah dan poster mengutuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, beliau tidak pasti pihak mana yang mengedarkan risalah berkenaan bagaimanapun memberi jaminan ia bukan diedarkan oleh pihak beliau dan jentera pilihan rayanya. – BERNAMA