Calon Lain Akan Ganti King Sing – Muhyiddin

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu mencari calon lain untuk dilantik sebagai Timbalan Menteri Perpaduan Negara selepas Datuk Seri Tiong King Sing mengesahkan menolak jawatan berkenaan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Walaupun Yang di-Pertuan Agong memberikan perkenan terhadap pelantikan calon awal itu, Perdana Menteri mengambil pendekatan terbuka dan menerima penolakan jawatan Ahli Parlimen Bintulu berkenaan.

“Beliau sudah kemukakan pendirian bahawa tidak mahu ambil jawatan itu, tidak mengapa kerana ia pilihannya walaupun Agong sudah memberi perkenan, tetapi jika beliau (King Sing) rasa kedudukan berkenaan tidak sesuai, tidak mengapa.

“Kita akan terima (penolakan jawatan itu), sudah pasti saya perlu cari orang lain untuk dicalonkan mengisi jawatan Timbalan Menteri Perpaduan Negara. Pada masa sama, King Sing menyatakan hasrat untuk terus berkhidmat kepada negara tetapi menerusi kapasiti lain.

“Saya akan mengadakan perjumpaan dengannya esok,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet pertama, hari ini.

Loading...