Caj Tol Kenderaan Komersial Tak Turun, Kekal

31

KUALA LUMPUR – Penstrukturan semula PLUS Malaysia Berhad (PLUS) yang menyaksikan penurunan caj tol sebanyak 18% mulai 1 Februari ini tidak membabitkan kenderaan komersial.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kadar tol untuk kelas kenderaan komersial akan terus kekal pada kadar tol semasa tanpa peningkatan sehingga tamat konsesi tol.

Keputusan itu dibuat oleh Jemaah Menteri semalam yang mengesahkan keputusan kerajaan untuk menstruktur semula PLUS berdasarkan cadangan yang dikemukakan oleh Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini mengumumkan pelaksanaan penurunan kadar tol sebanyak 18% kepada kenderaan penumpang, bas dan teksi (iaitu kelas 1, 4 dan 5).

Ia membabitkan Lebuhraya Utara Selatan termasuk Lebuhraya Baru Lembah Kelang (NKVE), Lebuhraya Utara-Selatan Lingkaran Tengah (ELITE), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2), Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) dan Lebuhraya Butterworth- Kulim (BKE) serta kenderaan kelas 2, 3, 4 dan 5 bagi Jambatan Pulau Pinang).

“Kadar tol untuk kelas kenderaan komersial akan terus kekal pada kadar tol semasa tanpa peningkatan sehingga tamat konsesi tol,” katanya dalam satu kenyataan di sini.


Menurutnya, melalui penurunan kadar tol sebanyak 18% tersebut, semua pihak yang terlibat akan mendapatkan jumlah penjimatan sehingga RM1.1 bilion secara langsung untuk tahun ini.

Ini adalah termasuk penjimatan sebanyak RM0.5 bilion daripada diskaun 18% dan juga penjimatan RM0.6 bilion daripada bayaran pampasan kerajaan untuk membekukan kenaikan kadar tol.

Guan Eng berkata, bayaran pampasan sebanyak RM0.6 bilion ini tidak lagi digunakan untuk manfaat pengguna lebuh raya dan syarikat konsesi, sebaliknya ia boleh disalurkan kepada projek-projek kebajikan dan pembangunan ekonomi di seluruh negara. – MalaysiaGazette