Cadangan Tambah Bilangan Lorong Di Lebuh Raya

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan bercadang untuk menambah bilangan lorong di lebuh raya bagi menampung bilangan kenderaan dan mengurangkan kesesakan.

Timbalan Menterinya, Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata pihaknya sedang meneliti untuk menambah satu atau dua lorong di lebuh raya yang sesak sebelum mengusulkannya kepada kerajaan.

“Perkara ini perlu dilakukan kerana populasi (penduduk) meningkat selain mengurangkan kesesakan. Beberapa lokasi dikenal pasti, antaranya dari Johor Bahru hingga Ayer Hitam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan kempen keselamatan jalan raya sempena Tahun Baharu Cina peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2018, di sini hari ini.

Beliau berkata dengan usaha berkenaan termasuk sistem kereta api yang lengkap pada masa akan datang, rakyat dapat menikmati perjalanan yang lebih selesa dan bermutu.

Selain itu, beliau berkata pihaknya juga mengenal pasti beberapa jalan raya dalam kategori berbahaya untuk dinaik taraf bagi mengurangkan risiko kemalangan.

Menyentuh mengenai keselamatan jalan raya, beliau berkata program-program advokasi yang dijalankan membuahkan hasil dalam membantu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Menurut statistik Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Polis Diraja Malaysia, jumlah kemalangan maut bagi tahun 2017 mencatatkan 6,265 kes berbanding 6,570 kes pada 2016. – BERNAMA

Loading...