Cadang Stabil Harga Biodiesel Diserah Ke Kabinet

KAJANG – Kementerian Industri Utama telah menyerahkan cadangan mekanisme penstabilan harga biodiesel kepada Kabinet dalam usaha menyeragamkan harga bahan itu di pasaran.

Menterinya, Teresa Kok berkata kementerian berhasrat untuk mempertingkat penggunaan biodiesel bagi tujuan pengangkutan yang dapat membantu kerajaan menjimatkan RM1.64 bilion dari segi kos import diesel setiap tahun.

“Saya masih menunggu Kabinet untuk meluluskan kertas (cadangan berkenaan). Kertas Kabinet ini masih belum dibentangkan…biarlah Kabinet memutuskannya. Keadaan jauh lebih murah jika memilih untuk menggunakan biodiesel,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pengumuman mengenai kerjasama antara Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Majlis Perbandaran Kajang membabitkan penggunaan biodiesel B20 di sini, hari ini.

Biodiesel B20 merupakan campuran 20 peratus minyak biodiesel dengan 80 peratus diesel petroleum dan kini digunakan oleh pihak Majlis Perbandaran Kajang sebagai bahan api untuk lima kenderaannya termasuk sebuah trak Hino.

Mengulas selanjutnya, Kok berkata kalangan pemilik kenderaan juga mampu menjimatkan penggunaan bahan api apabila beralih kepada biodiesel.

Malaysia kini dalam proses melaksanakan progrram B10 untuk sektor pengangkutan yang dijangka dapat mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 1.5 juta tan karbon dioksida setahun.

Penggunaan B10 itu dijangka dapat membantu Malaysia mencapai sasaran pengurangan pelepasan karbon sebanyak 40 peratus menjelang 2020. – BERNAMA