Cadangan Laluan Khas Pejalan Kaki Di Tambak Johor

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri bercadang mewujudkan laluan khas pejalan kaki untuk menyeberangi Tambak Johor ke Woodlands, Singapura, dalam usaha mengatasi kesesakan teruk di tambak berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohd Solihan Badri berkata, kerajaan negeri melihat ada keperluan, untuk mewujudkan laluan berkenaan memandangkan ada sebilangan besar mengambil risiko berjalan kaki terutamanya di waktu kemuncak, untuk mengelakkan kesesakan.

“Ini adalah di peringkat cadangan. Dengan adanya laluan ini, ia akan dapat menyelesaikan isu keselamatan.

“Kita dapati ramai penumpang bas menggunakan laluan kenderaan secara haram (dengan berjalan kaki) untuk mengelakkan kesesakan, dan menyambung perjalanan mereka dengan menaiki bas apabila sampai ke Singapura,” kata beliau kepada pemberita selepas melawat laluan cadangan pejalan kaki di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini, petang tadi.

Menurut beliau, pada tahun 2018, dianggarkan seramai 215,000 pengguna menggunakan Tambak Johor (bagi laluan sehala) sehari, yang mana 60 peratus darinya adalah pejalan kaki.

“Pihak konsultan akan menyediakan kertas cadangan yang terperinci untuk kerajaan negeri, yang dijangka siap dalam masa tiga minggu.

“Kemudian barulah kerajaan negeri akan pertimbangkan sama ada ia boleh dilaksanakan dengan kajian kemungkinan, melibatkan agensi-agensi berkaitan,” tambahnya.

Mohd Solihan, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tenang itu berkata, laluan pejalan kaki berbumbung sejauh 1.2 kilometer itu, dicadangkan dibina di atas laluan motorsikal sedia ada dan mempunyai dua hala.

Laluan itu dijangka menelan kos kira-kira RM15 juta.

Loading...